
KOTA KINABALU | 20 Apr 26 – Ketua RESET Sepangar, Norsahar Ahmad menegaskan bahawa dakwaan kononnya gerakan RESET masih kabur adalah tidak tepat, sebaliknya menggambarkan fasa awal pembinaan sebuah gerakan politik yang sedang berkembang.
Menurut beliau, kritikan yang dilontarkan terhadap RESET oleh beberapa pihak dilihat terlalu simplistik dan gagal memahami dinamika politik Sabah yang kompleks serta sentiasa berubah.
“Dalam realiti politik, tiada gerakan yang lahir dalam keadaan sempurna. Apa yang dilihat sebagai ‘kabur’ itu sebenarnya fasa pembentukan – membina struktur, jaringan akar umbi dan naratif,” katanya dalam satu kenyataan.
Norsahar berkata, persepsi bahawa RESET tidak mendapat sambutan juga tidak berasas, memandangkan pengundi di Sabah tidak membuat keputusan semata-mata berdasarkan label parti, sebaliknya menilai keupayaan menyelesaikan isu semasa.
“Rakyat Sabah tidak menolak parti nasional secara mutlak. Apa yang ditolak ialah kegagalan memahami realiti tempatan. Jika agenda menyentuh isu asas seperti air, elektrik dan autonomi, ruang penerimaan tetap ada,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa RESET bukan sekadar platform politik biasa, sebaliknya membawa pendekatan untuk mengubah kerangka sistem yang dilihat gagal menangani masalah berulang di negeri itu.
“Ini bukan soal menukar individu, tetapi mengubah sistem yang tidak berfungsi. Hala tuju RESET jelas ke arah pembaharuan struktur, bukan sekadar tampalan sementara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan sentimen lokal di Sabah bukan penghalang mutlak kepada gerakan baharu, sebaliknya merupakan medan strategi yang perlu didekati secara pragmatik.
“Sejarah pilihan raya menunjukkan pengundi boleh berubah apabila berdepan isu yang lebih mendesak. Pendekatan berasaskan penyelesaian lebih penting daripada retorik identiti,” katanya.
Dalam masa sama, Norsahar turut menolak dakwaan bahawa kegagalan awal dalam pilihan raya mencerminkan kelemahan gerakan tersebut, sebaliknya menyifatkan ia sebagai proses pembelajaran dalam membina kekuatan politik.
Beliau turut mencabar naratif bahawa rakyat Sabah hanya menyokong parti lokal, dengan merujuk kepada keputusan pilihan raya lalu yang menunjukkan parti nasional masih mampu memenangi kerusi.
“Ini membuktikan pengundi menilai pelbagai faktor termasuk kredibiliti calon, isu semasa dan keupayaan menyelesaikan masalah, bukan sekadar label lokal atau nasional,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menegaskan bahawa dalam landskap politik Sabah yang dinamik, mana-mana gerakan kecil berpotensi berkembang menjadi kuasa penentu.
“Hari ini mungkin dilihat sebagai watak sampingan, tetapi dalam politik Sabah, tidak mustahil untuk muncul sebagai ‘kingmaker’ jika berjaya menyentuh isu sebenar rakyat,” katanya.
Baru-baru ini, ahli akademik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arvin Tajari berkata walaupun ‘RESET’ Sabah didukung bekas ahli Bersatu yang menyokong Hamzah Zainudin iaitu pengasasnya, gerakan itu dilihat belum berupaya menampilkan pembawaan jelas sesuai dengan naratif politik tempatan.
“Sentimen menolak parti nasional masih kuat selepas ‘tsunami politik’ Sabah,” katanya merujuk sentimen ‘Sabah for Sabahan’ yang mendominasi PRN November lalu.
Gerakan RESET tercetus selepas pemecatan Timbalan Presiden BERSATU, Dato Seri Hamzah Zainuddin, Februari lalu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.