
KUALA LUMPUR | 19 Jan 26 – PERKASA menegaskan bahawa cadangan pembentukan “Kolaborasi Agong” bagi penyatuan orang Melayu rentas parti dan kumpulan tidak akan berjaya selagi UMNO masih bekerjasama dengan Kerajaan Madani dan DAP.
Presiden PERKASA, Syed Hassan Syed Ali, menegaskan bahawa PERKASA akan menolak usaha Kolaborasi Agong jika mana-mana parti dalam kolaborasi itu masih bekerjasama dengan DAP.
“Mana-mana parti politik yang ada kerjasama dengan DAP, PERKASA tidak akan bersama,” katanya.
Namun begitu, Syed Hassan menyatakan PERKASA bersedia menyokong cadangan penyatuan Melayu yang melibatkan pelbagai kumpulan Melayu termasuk parti politik, NGO, dan organisasi lain, selagi ia benar-benar bebas daripada pengaruh DAP.
“Usaha penyatuan Melayu hanya akan berjaya jika ia dilakukan secara tulen, tanpa sebarang kerjasama dengan DAP,” kata beliau.
Presiden PERKASA turut menekankan pentingnya Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin yang mampu menghadapi Ketua PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau menegaskan, selagi negarawan itu sihat dan bertenaga, beliau tetap menjadi tumpuan perpaduan Melayu melalui Payung Besar Melayu.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengemukakan usul pembentukan satu gabungan besar kerjasama atau “kolaborasi agung” bagi menyatukan semua parti Melayu dan Islam di Malaysia. Bagaimanapun, Zahid menegaskan cadangan gabungan besar itu tertakluk kepada satu syarat utama, iaitu tidak mengganggu atau menggugat kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.