LUHAM Persoal Arah Penguatkuasaan Akta Hasutan

KUALA LUMPUR | 22 Apr 26 — Kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemungkinan tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 kini mengundang reaksi balas apabila Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS mempersoalkan pendekatan yang dilihat semakin longgar dalam mentafsir undang-undang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi LUHAM, Wan Rohimi bin Wan Daud, memberi peringatan bahawa walaupun kebebasan bersuara di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak bersifat mutlak, sebarang sekatan tetap mesti berasaskan undang-undang yang jelas dan rasional — bukan tafsiran umum yang berisiko melebar tanpa batas.

“Sekatan hendaklah mempunyai asas rasional dan tidak bersifat sewenang-wenangnya,” tegas Wan Rohaimi, merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia.

Kenyataan itu hadir susulan amaran PDRM terhadap kandungan media sosial yang disifatkan mempunyai “kecenderungan menghasut” — termasuk penggunaan istilah seperti “provokatif” yang kini menjadi titik pertikaian.

Bagi LUHAM, istilah tersebut tidak mempunyai definisi statutori dalam kerangka Akta Hasutan, sekali gus membuka ruang tafsiran luas yang boleh mencetuskan ketidaktentuan dalam kalangan masyarakat.

Lebih kritikal, Wan Rohaimi menegaskan bahawa perbincangan mengenai dasar kerajaan tidak seharusnya secara mudah dikaitkan sebagai berpotensi menghasut.

Ini kerana, menurut mereka, pendekatan sedemikian berisiko mengaburkan garis antara kebebasan bersuara dan kesalahan jenayah — satu perkembangan yang boleh memberi kesan langsung kepada ruang wacana awam.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa Mahkamah Persekutuan dalam kes Public Prosecutor v Azmi Sharom memang mengekalkan kesahihan Akta Hasutan, namun tidak pernah memberi “lesen terbuka” untuk memperluaskan maksud kecenderungan menghasut tanpa had.

Malah, mereka menekankan bahawa pindaan 2015 terhadap Seksyen 3(1)(a) — yang menggugurkan frasa “terhadap kerajaan” — menunjukkan bahawa undang-undang itu sendiri telah bergerak ke arah lebih terhad, bukan lebih luas.

Namun, perkembangan semasa menimbulkan persoalan sama ada pendekatan penguatkuasaan kini kembali menggunakan kerangka lama — di mana kritikan terhadap kerajaan mudah dikaitkan dengan unsur hasutan.

Dalam kenyataan sama, Wan Rohaimi turut menyentuh aspek politik yang lebih luas apabila mengingatkan bahawa Akta Hasutan telah lama menjadi subjek janji reformasi, khususnya oleh kepimpinan Pakatan Harapan.

Sehubungan itu, mereka mempersoalkan mengapa penekanan terhadap penggunaan akta tersebut masih berterusan tanpa penjelasan dasar yang konsisten.

“Penekanan berterusan terhadap penggunaan Akta Hasutan… wajar disertai dengan penjelasan dasar yang lebih konsisten,” kata kenyataan itu lagi.

Beliau turut menggesa agar semua kenyataan rasmi berkaitan penguatkuasaan undang-undang dibuat dengan lebih teliti, berpaksikan teks undang-undang serta tafsiran kehakiman sedia ada — bukan melalui perluasan makna secara umum. 

Baru-baru ini, seorang wanita ditahan dan sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, dipercayai susulan kenyataannya yang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu video di TikTok. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share