
KUALA LUMPUR | 23 Apr 26 — Perikatan Nasional (PN) mengambil pendekatan berhati-hati tetapi tegas susulan insiden tular di Kulim yang memaparkan seorang anggota polis memijak kepala seorang individu ketika operasi penguatkuasaan — satu tindakan yang mencetuskan perdebatan awam mengenai had penggunaan kekerasan dan integriti pasukan keselamatan.
Dalam kenyataan medianya, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menekankan bahawa isu ini melangkaui tindakan individu semata-mata. Sebaliknya, ia menyentuh asas kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang.
“Sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan kepercayaan awam perlu ditangani secara tegas, segera dan berhemah,” katanya dalam kenyataan.
PN mengakui peranan kritikal polis dalam menjaga keselamatan negara, sambil mengingatkan bahawa kredibiliti institusi tersebut bergantung kepada tahap profesionalisme dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
“Walaupun siasatan menyeluruh perlu dijalankan sebelum sebarang kesimpulan dibuat, namun perbuatan yang dipaparkan menimbulkan persoalan serius mengenai kewajaran penggunaan kekerasan oleh anggota penguat kuasa dalam situasi sedemikian. Ujarnya.
PN dalam pada itu, memberi amaran bahawa tindakan segelintir anggota boleh memberi kesan sistemik terhadap persepsi rakyat, sekali gus menghakis keyakinan terhadap keseluruhan pasukan.
Dalam konteks ini, kebimbangan awam tidak harus dianggap keterlaluan, sebaliknya dilihat sebagai manifestasi keprihatinan terhadap integriti institusi.
“Kebimbangan yang dibangkitkan oleh masyarakat tidak seharusnya dilihat sebagai terburu-buru atau keterlaluan, sebaliknya diterima sebagai manifestasi keprihatinan awam berkait integriti dan tahap profesionalisme anggota keselamatan kita. Katanya.
Walaupun mengkritik secara tersirat, PN menyatakan sokongan terhadap langkah Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.
“PN menyokong penuh jaminan Kementerian Dalam Negeri dan PDRM untuk menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, selain memastikan hasil siasatan dimaklumkan dalam tempoh yang munasabah.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan atau menghukum mana-mana pihak hanya berdasarkan rakaman video pendek berhubung insiden tular membabitkan dakwaan seorang anggota polis memijak kepala suspek di Kulim, Kedah.
Dalam rakaman itu, seorang suspek dilihat ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota berkenaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.