
SHAH ALAM | 26 Mac 26 — Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa kerajaan supaya menaikkan bantuan tunai BUDI Diesel Individu kepada RM700 sebulan, berbanding kadar semasa RM300, bagi meringankan beban pemilik kenderaan diesel susulan lonjakan harga diesel di Semenanjung Malaysia kepada RM5.52 seliter.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, kadar bantuan RM300 ketika ini tidak mencukupi untuk menampung peningkatan kos operasi yang ditanggung pengguna diesel persendirian, khususnya pemilik pikap dan van yang digunakan untuk perniagaan mikro serta tujuan sara diri.
Menurut beliau, berdasarkan penggunaan purata 200 liter sebulan, pengguna RON95 hanya membelanjakan sekitar RM398 pada harga subsidi RM1.99 seliter. Sebaliknya, pengguna diesel walaupun selepas menerima bantuan RM300 masih perlu menanggung kos bersih sekitar RM804 sebulan.
“Ini bermakna pengguna diesel membayar hampir dua kali ganda berbanding pengguna petrol untuk jarak perjalanan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa bantuan RM300 hanya mampu menampung kira-kira 54 liter diesel sahaja, dan bagi kebanyakan pemilik kenderaan komersial kecil, jumlah tersebut habis dalam tempoh kurang seminggu.
Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor mencadangkan agar bantuan dinaikkan kepada RM700 sebulan, yang disifatkan sebagai “titik kesetaraan” supaya kos bersih pengguna diesel (RM1,104 ditolak RM700) menjadi sekitar RM404 — hampir menyamai kos pengguna RON95 sebanyak RM398.
Tambah beliau, berdasarkan kenyataan Kementerian Kewangan, hanya sekitar 320,000 penerima layak menerima subsidi diesel bersasar, sekali gus menunjukkan jumlah penerima adalah terhad dan wajar diberikan sokongan lebih signifikan.
“Kebanyakan rakyat sebelum ini memilih kenderaan diesel kerana faktor penjimatan. Namun kini mereka berdepan tekanan kos yang tinggi. Jika matlamat subsidi bersasar adalah membantu golongan layak, maka perbezaan jenis enjin tidak sepatutnya menjadi punca ketidakseimbangan beban ekonomi,” katanya.
Pemuda PAS Selangor menegaskan kerajaan perlu menyemak semula keberkesanan skim sedia ada agar bantuan benar-benar adil dan selari dengan tujuan asal subsidi bersasar.
Kenaikan harga bahan api menjadi tumpuan apabila kerajaan mengumumkan kenaikan besar dan secara mendadak. Perkembangan ini menimbulkan keresahan rakyat akan implikasi terhadap harga barangan selepas kenaikan ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.