Rakyat semakin sedar dab menolak cubaan untuk membungkus cita-cita politik DAP seolah-olah ia mewakili impian bersama seluruh rakyat Malaysia.
Sebuah impian nasional tidak boleh dibina atas slogan. Ia hanya layak dipanggil Malaysia Dream apabila ia berakar pada realiti sejarah, Perlembagaan Persekutuan, kontrak sosial, dan keadilan yang benar-benar dirasai oleh majoriti rakyat.
Realitinya, hari ini jurang ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera masih belum diselesaikan secara struktural.
Data rasmi sendiri menunjukkan bahawa pendapatan isi rumah Bumiputera masih ketinggalan secara konsisten berbanding kumpulan lain.
Selagi jurang asas ini belum diseimbangkan, janganlah ada pihak yang cuba menjual naratif seolah-olah kita sudah sampai ke destinasi perpaduan yang ideal.
Malaysia Dream yang sebenar bukan sekadar slogan “equality for all” yang sedap didengar di pentas politik.
Malaysia Dream yang sebenar ialah apabila anak pribumi tanah ini tidak lagi hidup dalam tekanan kos sara hidup, tidak lagi tertinggal dalam pemilikan kekayaan, tidak lagi menjadi majoriti yang lemah di tanah air sendiri, dan tidak lagi berada dalam kedudukan yang rapuh dalam struktur ekonomi negara.
Kalau benar mahu bercakap tentang impian Malaysia, maka mulakan dengan soalan paling asas: adakah majoriti rakyat yang menjadi tunjang negara ini benar-benar merasai keadilan ekonomi, keselamatan budaya, dan keyakinan masa depan?
Jika jawapannya belum, maka ini bukan Malaysia Dream. Ini hanyalah mimpi DAP – DAP Dream yang cuba dipasarkan sebagai impian nasional.
Saya juga ingin tegaskan: perpaduan nasional tidak akan lahir hanya melalui slogan. Perpaduan memerlukan satu kerangka kenegaraan yang dikongsi bersama.
Sebab itu perbahasan tentang sistem pendidikan kebangsaan tidak boleh dianggap isu remeh.
Sebuah negara yang benar-benar mahu membina identiti bersama perlu berani memperkukuh sekolah kebangsaan sebagai ruang penyatuan nasional yang utama, dengan standard kualiti yang tinggi, disiplin yang kuat, dan keyakinan semua kaum terhadap sistem yang sama.
Dalam masa yang sama, realiti semasa menunjukkan ramai rakyat masih mempertahankan sekolah vernakular, jadi kegagalan sebenar negara ialah kerana kita belum menjadikan sekolah kebangsaan cukup unggul untuk diterima sebagai pilihan utama semua.
Maka isu pokoknya bukan sekadar bahasa atau aliran. Isunya ialah sama ada negara ini serius mahu membina satu identiti kebangsaan yang kukuh, atau terus membiarkan politik pelbagai aliran diperalatkan menjadi modal kuasa.
Saya tidak menolak perpaduan. Saya menolak hipokrasi politik yang bercakap tentang perpaduan, tetapi enggan mengakui bahawa perpaduan sejati menuntut pembetulan jurang ekonomi, pengukuhan institusi kebangsaan, dan penghormatan kepada kedudukan istimewa Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan.
Sebuah negara tidak akan benar-benar maju jika pribuminya masih ramai yang ketinggalan.
Sebuah negara juga tidak akan benar-benar bersatu jika asas kenegaraannya sentiasa ditafsir semula mengikut selera politik semasa.
Jadi mari kita bercakap benar.
Malaysia Dream yang sebenar bukanlah mimpi partisan.
Ia mesti bermula dengan keadilan kepada Bumiputera, pengurangan jurang kekayaan antara kaum, pemerkasaan institusi nasional, dan pembinaan identiti kebangsaan yang tidak tunduk kepada tekanan politik mana-mana parti.
Selain daripada itu, ia bukan Malaysia Dream.
Ia hanyalah DAP Dream – Mimpi DAP!
Dr Armin Baniaz Pahamin, Setiausaha Agung Sekretariat Tanahair
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.