
SEREMBAN | 27 Apr 26 — Krisis politik di Negeri Sembilan semakin memuncak apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO-Barisan Nasional (BN) mengumumkan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Dalam satu kenyataan bersama, kesemua ADUN berkenaan memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau, khususnya dalam mengurus isu melibatkan institusi adat serta pematuhan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri.
Menurut mereka, beberapa keputusan penting kerajaan negeri didakwa dibuat tanpa rundingan bersama wakil BN dalam pentadbiran, termasuk dalam kalangan EXCO, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap amalan tadbir urus dan prinsip muafakat dalam kerajaan sedia ada.
Perkara berkenaan diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga ADUN BN, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dalam satu sidang media khas diatas talian.
Dengan penarikan sokongan tersebut, kerajaan pimpinan Aminuddin Harun kini berdepan risiko kehilangan majoriti, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan berlakunya perubahan pentadbiran atau pembubaran DUN sekiranya kebuntuan politik berterusan.
Difahamkan, satu surat rasmi akan dihantar kepada Speaker DUN dan Setiausaha Dewan sebagai makluman rasmi mengenai pendirian 14 ADUN terbabit.
Krisis perlembagaan dilihat bermula apabila Undang Yang Empat membuat keputusan untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Namun Menteri Besar memaklumkan bahawa keputusan tersebut tidak sah.
Dalam kerangka Adat Perpatih, Undang Yang Empat sememangnya mempunyai kuasa untuk melantik dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar. Menurut beliau, kuasa tersebut bukan simbolik, sebaliknya termaktub dalam struktur pemerintahan Negeri Sembilan sejak sekian lama.
Perkembangan ini turut mencetuskan persoalan lebih besar terhadap hubungan antara PH dan BN di peringkat negeri, ketika kerjasama kedua-dua gabungan itu masih berjalan di peringkat Persekutuan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.