PAS Desak Bersatu Ambil Tindakan Tegas Terhadap Adun Tandatangan SD Di Perlis

KUALA LUMPUR, 26 DIS 25 — PAS berharap Bersatu dapat mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu yang menandatangani akuan bersumpah (SD) sehingga mencetuskan ketegangan politik di Perlis.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) serta memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara.

Katanya, perkara itu selaras dengan tindakan Bersatu sebelum ini yang menggantung keahlian Adun Nenggiri kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun ketika itu tidak melibatkan SD.

“Berbanding Nenggiri, apa yang berlaku di Perlis jauh lebih serius kerana memberi kesan langsung terhadap keutuhan kerajaan PN,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut beliau, PAS yakin Bersatu akan bertindak secara konsisten dengan semangat Akta Anti Lompat Parti dan amanah mandat rakyat.

“PAS sudah melakukan tindakan mendisiplinkan parti. Kini, Bersatu wajar melakukan perkara yang sama terhadap Adunnya,” katanya.

Terdahulu, PAS mengumumkan keahlian tiga Adun parti itu terhenti serta-merta selepas dikaitkan dengan tindakan menandatangani SD menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ismail.

Mereka ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Media sebelum ini melaporkan lima ADUN Bersatu yang didakwa turut menandatangani SD tersebut ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena). @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share