
MELAKA | 27 Apr 26 – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Mohd Yadzil Yaakub, mempersoalkan naratif kejayaan kerajaan negeri yang disifatkan terlalu bergantung kepada angka tanpa mencerminkan realiti sebenar kehidupan rakyat.
Ketika membahaskan ucapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, beliau menegaskan bahawa tugas pembangkang bukan untuk memuji statistik, sebaliknya mendedahkan keadaan sebenar di lapangan.
“Rakyat tidak makan peratusan KDNK. Rakyat berdepan dengan harga makanan yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan pelaburan berjumlah RM14.68 bilion yang diumumkan kerajaan negeri, dengan menyifatkan angka tersebut sebagai “pelaburan diluluskan” semata-mata, bukan semestinya telah direalisasikan.
“Jika pelaburan benar-benar mencurah, mengapa anak muda Melaka masih berhijrah ke Kuala Lumpur dan Singapura untuk mencari pekerjaan lebih baik?” soalnya.
Dalam masa sama, beliau menyentuh isu pelancongan apabila jumlah 15.9 juta pelawat tidak semestinya membawa manfaat langsung kepada rakyat, sebaliknya menimbulkan kesesakan trafik yang menjejaskan kualiti hidup.
Selain itu, beliau turut mengkritik naratif harga rumah “paling rendah” di Melaka, dengan menjelaskan bahawa masalah sebenar adalah ketidakpadanan antara harga rumah dan pendapatan rakyat.
“Rumah mungkin ‘mampu milik’ di atas kertas, tetapi realitinya ramai rakyat hanya mampu melihat tanpa membeli,” katanya.
Beliau juga menyindir beberapa inisiatif digital seperti “Kampung Digital” dan “Kubur Digital”, dengan mempersoalkan keutamaan kerajaan ketika rakyat masih berdepan masalah asas.
“Jangan kita terlalu ghairah mengejar imej futuristik sedangkan masalah asas rakyat belum diselesaikan,” ujarnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.