Kena Notis: Muqharabbin Dakwa Lembaga Disiplin BERSATU Hilang Arah

KUALA LUMPUR | 30 Apr 26 — Ketua Bahagian BERSATU Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin tampil membidas tindakan Lembaga Disiplin parti yang mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadapnya, menyifatkan langkah itu sebagai bukti kelemahan dalaman parti.

Notis bertarikh 29 April itu dikeluarkan susulan dakwaan beliau membubarkan bahagian melalui sidang media pada 14 Februari lalu serta menyokong kepimpinan yang dikaitkan dengan gerakan “RESET”.

Namun dalam kenyataan medianya bertarikh 30 April, Muqharabbin menegaskan tindakan tersebut tidak lagi relevan memandangkan beliau telah pun meletakkan jawatan dan keluar daripada parti.

“Saya mengambil maklum tindakan Lembaga Disiplin BERSATU yang masih mengeluarkan notis terhadap saya, walaupun saya telah mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada parti,” katanya.

Beliau menyifatkan tindakan itu mencerminkan keadaan parti yang “tidak peka dan tidak relevan terhadap realiti semasa”, selain mempersoalkan kecekapan pengurusan dalaman.

Menurutnya, kegagalan menyelaras maklumat asas seperti status keahlian menunjukkan kelemahan serius dalam fungsi Lembaga Disiplin yang sepatutnya bertindak secara profesional dan berasaskan fakta.

Dalam masa sama, beliau turut mendakwa badan disiplin itu tidak lagi bebas, sebaliknya dilihat sebagai alat kepada pihak tertentu yang berkepentingan.

Muqharabbin juga membangkitkan persoalan mengenai pelantikan dalam kepimpinan parti, yang menurutnya mungkin tidak berasaskan merit, tetapi dipengaruhi percaturan politik kelompok tertentu.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa sudah tiba masanya untuk menilai semula hubungan dengan BERSATU, termasuk sama ada parti itu masih layak menjadi sebahagian daripada mana-mana gabungan politik.

“Politik yang sihat memerlukan integriti, kejujuran dan kebertanggungjawaban. Tindakan seperti ini hanya akan terus menghakis keyakinan rakyat,” katanya.

Perkembangan ini dilihat menambah tekanan terhadap kepimpinan BERSATU, ketika parti itu berdepan gelombang cabaran dalaman melibatkan beberapa pemimpin yang mula mengambil pendirian terbuka.

Untuk rekod, BERSATU Bahagian Lembah Pantai yang dipimpin oleh beliau merupakan bahagian pertama yang mengumumkan peletakan jawatan seluruh anggota bahagian sekaligus membubarkan keahlian Februari lalu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share