Datuk Seri Hamzah Zainudin sentiasa mengingatkan bahawa reset ke arah Malaysia yang lebih baik adalah perjuangan. Ia wajib bermula dengan niat yang betul, iaitu semata-mata kerana Allah.
Reset mesti dilakukan dengan set minda dan pandangan sarwa yang betul. Bahawa semuanya adalah ibadah untuk mendapatkan mardhaatillah (restu dan redha Allah).
Anggota-anggota gerakan reset mesti mengamalkan nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang diajar agama, contohnya, beradab, ikhlas, jujur, merendah diri dan sanggup berkorban.
Reset perlu bersandar pada pemikiran dan falsafah ulung. Tetapi ia tidak berhasrat melahirkan teori-teori baru atau berbalah dengan pemikiran-pemikiran dan falsafah-falsafah sedia ada. Sebaliknya, ia meraikan kehadiran pelbagai pemikiran dan falsafah itu. Reset menilai, menyaring dan memilih segala persamaan dan kekuatan mereka lalu mentafsir dan menggunakannya dengan optimum.
Pemikiran dan falsafah ulung bersifat meluas dan jangka masa panjang untuk melakukan islah dan membangun cara hidup yang komprehensif dan peradaban.
Reset menerimanya. Kerana reset juga bercirikan islah dan pembinaan bangsa/ummah. Tetapi reset bersifat khusus serta jangka masa pendek dan sederhana. Termasuk untuk berkuasa dan menguruskan kerajaan. Namun, ia tetap berada dalam jaringan perjuangan menuju matlamat yang diingini pemikiran dan falsafah ulung tersebut.
Gerakan reset perlu membangunkan ‘pemikiran reset’ yang berorientasi-dasar. Ini termasuklah menubuhkan majlis pemikir yang dianggotai tokoh-tokoh terkemuka dan badan penyelidikan.
Di antara pemikiran dan falsafah ulung dengan pemikiran reset harus wujud penyatuan pemikiran. Supaya berlaku persefahaman dan kerjasama serta mengelakkan pertindihan atau perlumbaan negatif.
Pemikiran reset meliputi dasar-dasar utama pembangunan negara, ummah dan geopolitik dunia demi keselamatan, keamanan dan kesejahteraan setiap individu dan kumpulan tanpa pilih kasih atau diskriminasi, dan dinikmati secara perkongsian saksama.
Semua ini dipandu Quran dan Sunnah serta prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Rukunegara, undang-undang, sejarah dan kebudayaan kebangsaan.
Ia memerlukan proses pemahaman, penafsiran dan pelaksanaan yang berpegang pada prinsip-prinsip yang tetap (tidak boleh berubah) dan asas (foundational) serta mengambilkira perkara-perkara yang boleh berubah, kontekstual dan praktikal.
Reset mesti bersendikan ilmu dan budaya ilmu. Hanya dengan ilmu, akan terbina keyakinan.
Reset bakal bertarung dengan pelbagai cabaran. Ia menuntut keyakinan dan komitmen berterusan. Para Rasul diuji dengan pelbagai cabaran amat berat. Tetapi mereka istiqamah, yakin, komited, malah berkorban segala-galanya demi perjuangan.
Dalam pelaksanaannya, pendekatan tempatan atau manhaj Malaysia adalah premium, iaitu sebagai kebijaksanaan untuk berbuat dengan tepat lagi bermanfaat.
Ini memerlukan langkah-langkah kreatif dan inovatif, contohnya, tafsiran-tafsiran baru, penggunaan metod maqasid syariah (matlamat syariah yang lebih tinggi), Islamisasi atau integrasi ilmu, dan membangunkan disiplin-displin Islam untuk mengganti disiplin-disiplin dominan yang sedia ada.
Dari segi pengurusan reset, amat mustahak untuk mewujudkan kerjasama erat antara pemimpin negara pelbagai sektor, khususnya politik dan kerajaan, dengan tokoh ilmuwan pelbagai disiplin (ilmu wahyu dan ilmu kemanusiaan) bagi setiap bidang (institusi, sistem, undang-undang) dan di setiap peringkat.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan Menteri Luar Negeri. Rencana ini telah disiarkan di Sinar Harian, 1 Mei 26
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.