Ahli Parlimen Bersatu Persoal Notis Disiplin, Dakwa Amalan Parti Tidak Adil

KUALA LUMPUR | 2 Mei 26 — Kontroversi notis Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin memuncak apabila seorang Ahli Parlimennya, YB Tuan Kalam bin Salan, tampil mempersoalkan ketelusan dan keadilan tindakan tersebut.

Beliau antara kira-kira 16 pemimpin yang dilaporkan menerima notis berhubung dakwaan pelanggaran disiplin, termasuk menghadiri program yang dikaitkan dengan individu yang telah dipecat parti.

Menurut Tuan Kalam, notis yang dihantar melalui WhatsApp dalam bentuk PDF itu bukan sahaja dilabel “sulit”, malah tidak menyatakan secara jelas peruntukan perlembagaan parti yang didakwa dilanggar.

“Jika menghadiri program seperti itu dianggap kesalahan hingga dirujuk ke Lembaga Disiplin, maka ia menimbulkan persoalan besar tentang asas dan keadilan tindakan tersebut,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat dalam kalangan penerima notis yang memilih untuk tidak menjawab kerana meragui ketelusan proses, termasuk kewujudan mekanisme rayuan.

Dalam nada lebih keras, Tuan Kalam menyifatkan pendekatan parti itu sebagai bercanggah dengan realiti politik semasa, yang menuntut wakil rakyat bergaul dan berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar parti.

“Kita kena bercampur dengan semua orang, tak kira parti. Kita bantu rakyat tanpa tanya mereka undi siapa. Tapi dalam parti ini, kalau berkawan dengan individu yang dipecat, kita pula berdepan tindakan disiplin,” katanya.

Beliau juga mendakwa tiada peruntukan jelas dalam perlembagaan parti yang membolehkan tindakan sedemikian diambil, sekali gus menimbulkan persoalan tentang penyalahgunaan kuasa.

Selain itu, Tuan Kalam menolak dakwaan bahawa beliau dan rakan-rakan tidak mengenang jasa kepimpinan parti.

“Sebagai ahli sejak 2016, kami bangunkan parti dari bawah, buka cawangan dengan dana sendiri. Tanpa ahli dan penyokong, parti tidak akan menang pilihan raya. Jadi soal ‘berterima kasih’ itu tidak sepatutnya dibalikkan,” ujarnya.

Mengulas kemungkinan dikenakan tindakan, beliau berkata berdasarkan kes terdahulu, kebanyakan yang menerima notis akhirnya dipecat. Namun beliau menegaskan tidak gentar.

“Walaupun dipecat, saya tetap akan berkhidmat kepada rakyat. Itu tanggungjawab utama saya sebagai wakil rakyat,” katanya.

Isu ini dilihat berpotensi menggugat kestabilan dalaman Bersatu, khususnya ketika parti itu berdepan cabaran memperkukuh sokongan dalam kalangan wakil rakyat dan akar umbi.

Berdasarkan perkembangan terkini, difahamkan lebih dari 12 orang pemimpin BERSATU yang terdiri dikalangan Wakil Rakyat dan Ketua-ketua Bahagian, telah meneri notis Lembaga Disiplin. Tindakan tersebut dipercayai berkaitan dengan sokongan terhadap Hamzah Zainudin dalam gerakan RESET.

Sumber dalam turut memberitahu bahawa salah seorang ahli Jawatankuasa Lemabag Disiplin juga telah dipecat. Namun, belum ada kenyataan rasmi dibuat.

Perkembangan ini dikatakan sebahagian daripada proses penyingkiran mana-mana pihak yang tidak menyokong Presiden BERSATU. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share