
SHAH ALAM, 4 Mei — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan penyebaran visual yang didakwa mengaibkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, yang juga Ketua Agama Islam negeri itu, selepas imej berkenaan tular di media sosial.
MAIS dalam kenyataan media memaklumkan, hantaran di Facebook yang dikaitkan dengan pemilik akaun Lucas Liam memaparkan suntingan imej baginda dalam keadaan tidak sopan, sekali gus disifatkan sebagai perbuatan biadab dan tidak bertanggungjawab.
Selain itu, MAIS turut merujuk kepada satu lagi kes melibatkan akaun Huayan The Pure Learning Centre yang didakwa menyebarkan imej yang turut mengaibkan institusi berkenaan.
Menurut MAIS, tindakan tersebut dipercayai dilakukan dengan sengaja bagi melukakan perasaan umat Islam di Selangor serta tidak menghormati kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam. Perbuatan itu juga disifatkan melampaui norma masyarakat dan berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Sehubungan itu, MAIS menggesa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan segera bagi membawa pelaku terlibat ke muka pengadilan serta dikenakan hukuman setimpal.
MAIS turut menegaskan bahawa institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak perpaduan negara yang wajar dipelihara oleh semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama, selain menyeru agar semua pihak menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencemar kedaulatan institusi berkenaan.
MAIS menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di negeri itu serta memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Ahad lalu, seorang lelaki berusia 30-an ditahan di kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, dimuat naik melalui akaun Facebook.
Penahanan lelaki tersebut dibuat pukul 7.10 malam hari ini oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama MCMC. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.