Anwar Sindir MP Pembangkang: “Tahap Perdebatan di Parlimen Rendah”

KUALA LUMPUR, 9 NOV 25 — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyindir segelintir Ahli Parlimen pembangkang yang didakwanya berbahas tanpa asas ilmu dan kefahaman mendalam terhadap isu yang dibincangkan di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, kelemahan ini terserlah apabila ada wakil rakyat membantah Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) antara Malaysia dan Amerika Syarikat tanpa memahami isi kandungan serta tujuan sebenar perjanjian itu.

“Kadang-kadang rakan-rakan di Parlimen bila ada perjanjian dengan Amerika Syarikat, terus kata kita mengalah, kita dijajah. Dah baca ke belum? Faham ke tidak? Ini jadi masalah. Tahap perdebatan itu rendah,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Festival of Ideas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Beliau turut memuji kepimpinan dan kebolehan mahasiswa yang disifatkannya lebih matang serta berwibawa dalam berhujah berbanding sebahagian wakil rakyat.

“Saya fikir kadang-kadang pemimpin-pemimpin mahasiswa ini lebih hebat daripada sebahagian Ahli Parlimen yang ada. Anak-anak pintar ini boleh kita undang khas ke Parlimen, mudah-mudahan Ahli Parlimen dengar idea mereka,” ujarnya disambut tepukan hadirin.

Perdana Menteri menegaskan, pemimpin politik harus menilai dasar dan perjanjian berdasarkan manfaat kepada rakyat serta negara, bukannya menanam sentimen kebencian atau prejudis yang mengelirukan masyarakat.

Beliau turut menegur sikap sesetengah wakil rakyat yang masih menggunakan pentas Parlimen untuk menghina kaum dan agama lain, sedangkan perbahasan sewajarnya berteraskan akhlak dan tanggungjawab moral.

“Perbahasan sampai sekarang kadang-kadang masih menyinggung, menghina kaum, menghina agama lain. Sepatutnya kita lontarkan idea yang membina dan membantu negara. Ini baru politik yang sihat,” tegasnya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyeru generasi muda, khususnya mahasiswa, supaya menjadi peneraju kepada percambahan idea baharu berasaskan nilai kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.

“Kita sudah merdeka hampir tujuh dasawarsa, tetapi masih ada yang terperangkap dengan idea jumud yang menghina kaum dan memperlekeh budaya sendiri. Idea sebegitu belum merdeka. Saya mahu anak muda membawa gagasan baharu yang mengangkat martabat bangsa dan negara,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share