
PUTRAJAYA | 7 Mei 26 – Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Malaysian Bar untuk meneruskan cabaran undang-undang berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Malaysian Bar mempunyai locus standi atau hak dari segi undang-undang untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan DNAA tersebut.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Faizah Jamaludin membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran itu bukan sesuatu yang remeh dan tidak berasas.
“Cabaran Badan Peguam (terhadap) kedudukan Peguam Negara dalam menghentikan pendakwaan terhadap responden kedua (Ahmad Zahid) bukanlah sesuatu yang remeh dan ia membangkitkan isu-isu yang boleh dipertikaikan.
“Ini adalah suatu kes yang wajar, jarang berlaku dan luar biasa dan ia mewajarkan satu pendengaran semakan kehakiman penuh berdasarkan merit,” katanya.
Mahkamah turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonan Badan Peguam atas alasan tiada locus standi.
Pada September 2023, Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas pihak pendakwaan memohon supaya beliau diberikan DNAA.
Susulan itu, Malaysian Bar memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan Pendakwa Raya dan kerajaan Malaysia sebagai responden bagi mencabar keputusan tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.