Wan Saiful Dakwa PN Sengaja Dilemahkan Untuk Buka Laluan BERSATU Ke PH

KUALA LUMPUR | 8 Jan 26 – Mantan Ahli MPT BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa wujud usaha terancang dalam BERSATUuntuk melemahkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi menjadi ketua, sekali gus membuka laluan kepada kemungkinan BERSATU dibawa ke Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataan yang dimuat naik hari ini, Wan Saiful berkata tindakan dan syarat tertentu yang dikenakan dalam proses penggantian kepimpinan PN menunjukkan niat bahawa “jika Muhyiddin tak jadi ketua, biarlah PN itu lemah, hancur dan lingkup”.

“Sekiranya syarat-syarat yang sengaja mahu menyusahkan ini dibawa ke meja mesyuarat, maka nyatalah bahawa bagi Muhyiddin dan penjilatnya, matlamat mereka ialah jika Muhyiddin tak jadi ketua, biarlah PN itu lemah, hancur dan lingkup. Ujarnya.

Menurut beliau, keadaan itu akan menjadikan “lebih mudah pasangan dua sejoli Muhyiddin–Azmin membawa BERSATU kepada Pakatan Harapan”.

Wan Saiful menegaskan bahawa urusan mencari pengganti Muhyiddin sebagai Pengerusi PN sebenarnya tidak rumit, memandangkan Muhyiddin sendiri telah menawarkan untuk meletak jawatan, tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Beliau berpandangan PAS layak menerajui PN kerana merupakan parti terbesar dalam gabungan itu dengan jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri paling banyak. Katanya, jika kelayakan tersebut dipersetujui, maka mana-mana pemimpin PAS yang dinamakan seharusnya diterima semua pihak.

Namun, Wan Saiful menggariskan dua komplikasi utama yang menghalang peralihan kepimpinan itu. Komplikasi pertama, menurut beliau, berkait kebimbangan GERAKAN dan MIPP untuk menunaikan mandat mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu sekiranya PAS memimpin PN, berikutan isu persepsi dan imej gabungan itu.

“Saya dimaklumkan bahawa wujud kebimbangan di kalangan GERAKAN dan MIPP bahawa mereka tidak akan dapat menunaikan mandat mencari undi bukan Melayu sekiranya PAS memimpin PN, kerana kemungkinan imej PN di mata rakyat akan berubah jika PAS menjadi Pengerusinya.

Bagi menyelesaikan isu tersebut, Wan Saiful berkata ada cadangan supaya Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilantik sebagai Pengerusi PN, dengan hujah bahawa calon berkenaan dinamakan oleh PAS sendiri. Selain Hamzah, nama Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut disebut oleh pelbagai pihak.

Bagaimanapun, Wan Saiful mendakwa pencalonan Hamzah mencetuskan komplikasi kedua yang disifatkannya sebagai “komplikasi palsu”, berpunca daripada tindakan pihak tertentu dalam Bersatu yang mahu menyekat tokoh berkenaan.

Beliau mendakwa wujud kumpulan yang digelarnya sebagai “penjilat-penjilat Muhyiddin” yang berusaha meletakkan pelbagai syarat.

“Mereka mewujudkan pelbagai alasan asalkan Hamzah dihalang. Contohnya, mereka meletakkan syarat bahawa Pengerusi PN tak boleh orang selain Presiden parti.

“Ada juga yang meletakkan syarat bahawa mana-mana pemimpin BERSATU tak boleh mengambil apa-apa jawatan dalam PN. Semua ini bertujuan mengikat tangan PAS dan Hamzah. Katanya.

Terdahulu, Muhyiddin meletakkan jawatan Pengerusi PN berkuatkuasa 1 Januari 2026. Namun perletakkan jawatan itu hanya akan disahkan dalam mesyuarat majlis tertinggi PN yang dijangka bermesyuarat bulan ini.

Isu jawatan Pengerusi PN bermula apabila tercetus konflik politik PN di Perlis yang menyaksikan Menteri Besar PAS meletakkan jawatan dan diganti dengan Menteri Besar dari BERSATU.

Krisis PN berterusan selepas PRN Sabah yang menyaksikan blok utama pembangkang ini kalah teruk di Sabah yang menyaksikan desakan beramai-ramai Ketua Bahagian BERSATU Sabah yang menuntut peletakkan jawatan Presiden BERSATU. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share