Pemecatan Dilihat Buka Laluan Jawatan Tertentu — Khaliq Mehtab

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Mantan Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq mempersoalkan tindakan pemecatan dan penggantungan beberapa Ahli Parlimen serta ADUN Bersatu yang disifatkannya menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan akar umbi parti.

Menurut beliau, pemecatan melibatkan YB Abd Razak Khamis selaku Timbalan Speaker DUN Kedah dan YB Dato’ Dzowahir Ab Ghani, EXCO Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah dilihat bukan sekadar isu disiplin parti semata-mata.

“Persoalannya… adakah tindakan ini berlaku selepas cadangan Presiden Bersatu untuk melucutkan jawatan mereka atas alasan ‘tidak perform’ ditolak oleh Menteri Besar Kedah?” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pemecatan itu menjadi “jalan paling mudah” selepas cadangan berkenaan tidak dipersetujui.

“Dan jika itu berlaku, maka laluan untuk menggantikan jawatan Timbalan Speaker kepada ADUN Kota Seputih serta portfolio EXCO kepada ADUN Baling akan terbuka luas,” katanya.

Khaliq Mehtab turut mempersoalkan mengapa kebanyakan Ahli Parlimen hanya digantung dan bukannya dipecat daripada parti.

“Adakah kerana Presiden Bersatu sedar bahawa pemecatan MP boleh memberi kesan kepada jumlah kerusi Bersatu di Parlimen?

“Atau adakah wujud ‘double standard’ dalam tindakan Lembaga Disiplin?” katanya lagi.

Menurut beliau, kebanyakan yang dipecat melibatkan pimpinan di peringkat negeri manakala majoriti Ahli Parlimen pula hanya dikenakan penggantungan.

“Kalau benar atas alasan disiplin, kenapa hukumannya berbeza?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa perkara tersebut sebenarnya sudah lama dijangka dan mendakwa mereka yang dipecat juga tidak terkejut dengan tindakan berkenaan.

“Kalau tidak dipecat sekalipun, mereka tetap akan meninggalkan Bersatu.

“Cuma masa yang menentukan,” katanya.

Beliau turut mendakwa “rumah baru” dikatakan sudah siap dan ramai ahli parti kini hanya menunggu masa untuk bergerak.

“Sebab itu tindakan pemecatan ini dilihat lebih kepada usaha mengawal keadaan sebelum gelombang sebenar berlaku,” katanya.

Semalam, Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis, dipecat keahlian BERSATU. Ketika ini Dzowahir adalah EXCO kerajaan negeri, manakala Abdul Razak adalah timbalan Speaker DUN Kedah. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share