
KUALA LUMPUR, 19 Mei 25 – Pengarah Negeri Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan dirujuk kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kerana mengeluarkan arahan untuk menjalankan operasi serbuan ke atas sebuah kelab malam pada waktu siang.
EAIC dalam satu kenyataan berkata, aduan yang diterima daripada pengadu sebenarnya berkaitan aktiviti jenayah yang berlaku pada waktu malam.
“Operasi serbuan ke atas kelab malam tersebut juga dikatakan dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran dan kelulusan khas Pengarah Penguatkuasaan, Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan, Ibu Pejabat AADK.
Siasatan katanya mendapati pengarah negeri telah gagal memberi arahan yang tepat kepada pegawai AADK.
“Selain itu, dia juga telah ingkar perintah kerana tidak mendapatkan kebenaran dan kelulusan khas Pengarah Penguatkuasaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Penguatkuasaan: Operasi Tempat Hiburan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah kenyataan itu lagi, sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap Pengarah Negeri AADK Negeri Sembilan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) AADK. @politiko.my