
KOTA KINABALU | 10 Mei 26 – Tindakan disiplin yang berterusan dalam BERSATU ketika ini dilihat lebih menjurus kepada usaha mempertahankan kedudukan Muhyiddin Yassin berbanding memperkukuh perpaduan Perikatan Nasional, kata mantan Ketua Bahagian Sepanggar, Norsahar Ahmad.
Menurut beliau, rakyat dapat melihat perubahan mendadak naratif Muhyiddin dalam BERSATU apabila isu menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang gagal mencetuskan gelombang sokongan terhadap beliau, seperti yang diharapkan.
“Pada mulanya isu besar yang dimainkan ialah soal kedudukan Ketua Pembangkang dan usaha menggantikan Hamzah Zainudin.
“Tetapi apabila isu itu tidak mendapat reaksi seperti diharapkan, tiba-tiba timbul pula gelombang baharu melibatkan pemecatan, penggantungan dan surat-surat daripada Lembaga Disiplin parti,” katanya kepada politiko.
Norsahar turut mempersoalkan mengapa tindakan terhadap individu yang dikaitkan dengan gerakan RESET tidak dilakukan lebih awal, sedangkan nama-nama terlibat didakwa sudah diketahui sejak pelancaran gerakan itu pada 14 Februari lalu.
“Kenapa sekarang? Adakah kerana lepas pecat Hamzah, sokongan Muhyiddin semakin lemah? Katanya.
Menurut beliau, perkembangan itu menimbulkan persepsi bahawa percaturan politik Muhyiddin kini lebih tertumpu kepada usaha mengawal kumpulan dalam parti dan mempertahankan pengaruh politiknya.
Dalam masa sama, Norsahar turut membangkitkan persoalan berkaitan kewangan BERSATU yang menurutnya semakin menjadi perhatian rakyat.
Katanya, sebelum ini kepimpinan parti sering memberi alasan bahawa akaun dibekukan dan dana parti terhad sehingga menjejaskan pergerakan politik.
“Hingga kempen PRN Sabah lepas, kita diberitahu parti tidak ada duit. Ujarnya.
Namun beliau hairan apabila BERSATU kini dilihat mampu menganjurkan pelbagai program berskala besar termasuk rumah terbuka dan konvensyen parti.
“Sebelum ini alasan yang sering diberikan ialah parti tidak mempunyai dana.
“Tetapi sekarang tiba-tiba mampu mengadakan rumah terbuka besar-besaran, konvensyen dan pelbagai program politik,” katanya.
Beliau berkata, situasi itu sekali gus mengingatkan semula kepada kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah membangkitkan persoalan berkaitan kewangan Muhyiddin sebelum ini.
“Kalau benar tidak ada duit seperti didakwa dahulu, bagaimana sekarang semua program boleh berjalan secara aktif?
“Itu persoalan yang sedang diperhatikan rakyat hari ini,” katanya.
Disember lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Muhyiddin terlibat dalam penyelewengan dana sumbangan kepada parti.
“Pasal dia pun curi duit… saya tahu. Duit dibagi kepada parti, dia tak bagi kepada parti, dia simpan di rumah dia,” katanya.
Dakwaan tersebut dibuat dalam satu pertemuan tertutup bersama Armada Johor dan ia menajdi tular. Namun Muhyiddin sehingga kini berdiam diri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.