Hadi Dakwa UMNO Kini Jadi ‘UMDAP’, Hilang Arah Perjuangan Melayu-Islam

KUALA LUMPUR | 11 Mei 26 — Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa UMNO kini semakin kehilangan arah perjuangan apabila terus bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan sehingga disifatkannya sebagai “UMDAP”.

Dalam tulisan terbaharu “Minda Presiden PAS”, beliau mendakwa UMNO sanggup bekerjasama dengan DAP demi kelangsungan kuasa politik selepas gagal menguasai kerajaan secara bersendirian pada PRU-15.

“Tiba-tiba, UMNO gagal, lalu melutut dengan hina di hadapan DAP dan bersekongkol menjadi UMDAP,” katanya.

Hadi turut mendakwa UMNO kini berada dalam keadaan lemah dan defensif kerana dipimpin kelompok yang menurutnya mahu terus berada dalam kerajaan bagi menyelamatkan kedudukan masing-masing.

“Berlaku kelalaian dalam UMNO setelah lama berkuasa, sehingga leka dan jatuh kerana tidak sedar bersama para pemimpin generasi baharu yang dicipta dalam kelekaan dan kelalaian,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan perjuangan agama, bangsa dan negara tidak lagi menjadi keutamaan dalam UMNO.

Menurutnya lagi, PAS sebelum ini pernah bekerjasama dengan UMNO dan Muhyiddin Yassin dalam kerajaan campuran, namun mendakwa beberapa pemimpin UMNO bertindak menjatuhkan kerajaan demi perebutan jawatan Perdana Menteri.

Hadi turut membidas pelaksanaan undang-undang berkaitan 3R yang menurutnya digunakan untuk menyekat suara rakyat dan mengongkong kebebasan bersuara.

“UMDAP dikongkong oleh sistem diktator PH melalui konsep 3R yang menyekat suara rakyat,” katanya.

Beliau pada masa sama menggesa UMNO kembali kepada perpaduan Melayu-Islam berasaskan prinsip Islam dan meninggalkan kerjasama politik bersama DAP. 

Semalam. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan cadangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya UMNO kembali kepada perjuangan Islam hanya boleh dipertimbangkan sekiranya pemimpin Pas membuang sifat khianat dalam kerjasama politik. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share