
KUALA LUMPUR, 6 MEI 25 – Perikatan Nasional (PN) perlu berusaha menarik sokongan bukan Melayu dan tidak hanya mengharapkan sokongan satu kumpulan semata-mata jika berhasrat untuk mentadbir negara, kata bekas ahli Parlimen Batu Tian Chua.
Chua berkata, realiti politik Malaysia tidak bergantung kepada satu-satu etnik sahaja sebaliknya bergantung kepada sokongan masyarakat majmuk.
“Politik Malaysia memerlukan sokongan ketara di kalangan masyarakat majmuk.
“Ia merupakan kekurangan utama PN, dalam gabungan PN tiada komposisi bukan Melayu yang kuat dan boleh dipercayai berbanding dengan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan,” katanya, kepada politiko.my.
Bekas naib presiden PKR itu berkata, PN juga perlu menampilkan imej yang bersikap mewakili aspirasi kebangsaan termasuk menyantuni komuniti di Sabah dan Sarawak.
“PN mempunyai sokongan yang kukuh dari pengundi, terutamanya di masyarakat Melayu. Namun keupayaan menjadi kerajaan bukan bergantung kepada kekuatan pimpinan saja.
“PN perlu menggubah pendekatan untuk merangkungi kepentingan kaum-kaum lain termasuk Sabah dan Sarawak supaya rakyat boleh terima PN sebagai wahana politik yang mewakili aspirasi kebangsaan,” kata Chua.
Selain itu, wakil-wakil rakyat PN juga kata Chua perlu menambah baik keupayaan berbahas dan memahami peraturan di Dewan Rakyat dengan lebih mendalam.
“PN juga perlu meningkatkan prestasi dalam Parlimen untuk memainkan peranan yang lebih efektif sebagai ‘check and balance’, ahli Parlimen PN harus lebih pro aktif untuk membawa isu-isu negara dan mengkritik kelemahan kerajaan.
“Juga ada sesetengah ahli Parlimen PN harus meningkatkan keupayaan membahas dalam Parlimen, ini termasuk lebih fasih dengan tata peraturan Parlimen,” katanya lagi. @politiko.my