Pemuda PAS Selangor Anjur Himpunan Daulat Tuanku, Dakwa Ada Cubaan Cabar Institusi Raja

SHAH ALAM | 12 Mei 26 — Pemuda PAS Selangor akan menganjurkan “Himpunan Daulat Tuanku” pada 16 Mei ini susulan dakwaan wujud cubaan mencabar kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di negeri itu berkait polemik penternakan babi dan beberapa kenyataan pemimpin kerajaan.

Himpunan yang dijadual berlangsung di Pintu 1, Bangunan SUK Shah Alam pada jam 5 petang itu dianjurkan Sekretariat Himpunan Daulat Tuanku bersama gabungan NGO dan NGI sebagai simbol solidariti rakyat terhadap titah Sultan Selangor.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, himpunan tersebut bertujuan menzahirkan “kesetiaan mutlak rakyat” kepada Sultan Selangor di samping mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan institusi Diraja di negeri itu.

“Satu memorandum taat setia rakyat akan diserahkan ke Istana Kayangan pada hari tersebut,” katanya dalam teks sidang media Himpunan Daulat Tuanku 2026.

Menurut beliau, pihak sekretariat juga akan membuat pemakluman rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor mengikut lunas undang-undang serta hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan sama, Pemuda PAS Selangor turut memaklumkan bahawa seluruh Pemuda PAS kawasan telah diarahkan membuat laporan polis terhadap tindakan yang didakwa “biadab” dan tidak menghormati institusi Diraja.

Mohamed Sukri mendakwa beberapa tindakan dan kenyataan pemimpin Democratic Action Party (DAP) serta Pakatan Harapan telah melangkaui batas politik dan menyentuh asas penting negara.

“Bagi kami, apa yang dilakukan oleh pemimpin DAP dan PH ini adalah satu kebiadaban yang melampau, melanggar garis sempadan untuk berpolitik dan cubaan jahat untuk merungkai dasar Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara yang menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat dan negara kita,” katanya.

Beliau berkata, tindakan sedemikian perlu “dinoktahkan segera” sebelum mencetuskan ketegangan lebih besar dalam masyarakat.

Himpunan itu juga dilihat berlaku dalam suasana politik yang semakin panas susulan polemik berkaitan penternakan babi di Selangor, khususnya selepas titah Sultan Selangor yang menegaskan baginda tidak mahu aktiviti penternakan babi diteruskan di negeri tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS dan beberapa NGO Melayu-Islam melihat isu itu bukan lagi sekadar soal penternakan, tetapi sebagai isu mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu serta struktur asas Perlembagaan negara.

Sekretariat himpunan turut mengalu-alukan penyertaan pimpinan dan ahli pelbagai parti politik yang mendukung institusi Diraja untuk turut hadir bersolidariti.

“Ayuh rakyat Selangor! Kita pertahankan maruah negeri dan rakyat negeri ini! Daulat Tuanku!” katanya. 

Baru-baru ini, Istana Selangor mengeluarkan kenyataan kali kedua yang lebih keras, dengan menegaskan bahawa Sultan Selangor menolak apa jua cadangan untuk membuka ladang babi di seluruh negeri Selangor.

Kenyataan tersebut menyusul selepas Perdana Menteri bertemu dengan baginda untuk tujuan yang sama. Pada masa yang sama, ADUN Sri Kembangan dan mantan pemimpin DAP, membangkitkan hak mereka untuk tujuan tersebut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share