
KUALA LUMPUR, 15 Okt 25— Pusat bandaraya Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Berita Awani melaporkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kira-kira 16,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh negara akan dikerah untuk memastikan keselamatan dan melancarkan aliran trafik.
Beliau berkata PDRM berada pada tahap berjaga tinggi mulai 23 hingga 28 Oktober, terutama di negeri bersempadan dengan Kuala Lumpur, dan akan bertindak tegas dalam aspek keselamatan.
Selain itu, beberapa sekolah akan beralih ke sesi pembelajaran dalam talian, manakala penjawat awam yang tinggal dalam radius 25 km dari pusat bandar dicadangkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh sidang kemuncak.
Beberapa jalan utama dan lebuh raya di ibu kota akan ditutup secara berkala antara 30 hingga 45 minit untuk memberi laluan kepada konvoi rasmi, termasuk Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Tun Razak, Bukit Bintang dan banyak lagi.
Kerajaan juga menasihatkan orang ramai agar mengelak kawasan terlibat dan mengutamakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, Monorel atau bas, sementara kenderaan berat tidak dibenarkan memasuki pusat bandar pada waktu puncak persidangan.
Sidang kemuncak ini bakal dihadiri pemimpin dunia termasuk presiden Brazil, Afrika Selatan, selain beberapa negara dijangka menjadi rakan dialog baharu ASEAN seperti Cyprus dan Finland. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.