
KUALA LUMPUR, 3 Jun 25 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan tujuh hartanah dan satu akaun bank bernilai 132 juta pound Britain (RM758.2 juta) milik isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Na’imah Abdul Khalid dan keluarganya.
Antara aset yang diberikan untuk dibekukan termasuklah tiga kediaman mewah dan dua bangunan komersial di London.
Perintah itu diberikan Hakim Azhar Abdul Hamid selepas membenarkan permohonan dikemukakan pada prosiding secara ex-parte (sebelah pihak) hari ini, lapor Utusan Malaysia
Laporan itu berkata, hasil siasatan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan berhubungan dengan suatu kesalahan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya sedang berusaha melucutkan hak pemilikan harta milik Daim dan keluarga bekas menteri kewangan itu.
Selain harta bernilai tinggi membabitkan RM2 bilion yang kini dibekukan pihaknya, SPRM juga percaya masih ada harta yang tidak diisytiharkan berada di luar negara. @sumber