
KUALA LUMPUR | 13 Mei 26 – Sebuah NGO, Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM) menzahirkan sokongan penuh terhadap titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi di negeri itu, sambil menegaskan semua pihak wajib menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mempolitikkan perkara berkenaan.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Presidennya, Dato’ Sirajuddin Haji Salleh berkata, titah Sultan Selangor bukan sekadar menyentuh soal pentadbiran, tetapi mencerminkan kebijaksanaan seorang Raja Pemerintah yang mengutamakan kepentingan rakyat, kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, isu penternakan babi tidak boleh dianggap kecil atau bersifat emosi semata-mata kerana ia melibatkan pencemaran alam sekitar, pengurusan sisa kumbahan, keselamatan biosekuriti dan risiko kesihatan awam.
QIAM turut merujuk kepada dokumentari antarabangsa What the Health yang mendedahkan kesan penternakan babi berskala besar di North Carolina, Amerika Syarikat, termasuk pencemaran sungai dan udara serta risiko kesihatan kepada penduduk sekitar.
Menurut kenyataan itu, Selangor sebagai negeri padat penduduk dan mempunyai jaringan sumber air kritikal perlu diberi perlindungan sewajarnya daripada sebarang risiko pencemaran yang boleh menjejaskan generasi akan datang.
“QIAM berpandangan bahawa pendirian D.Y.M.M Sultan Selangor adalah pendirian yang berhemah, berpandangan jauh serta selaras dengan prinsip pembangunan mampan dan kepentingan awam,” katanya.
Dalam pada itu, QIAM turut mengingatkan semua pihak agar tidak mencetuskan polemik yang boleh mengeruhkan keharmonian masyarakat, selain menyeru rakyat menghormati kebijaksanaan institusi Diraja.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Malaysia pernah berdepan kontroversi wabak Nipah yang dikaitkan dengan isu pencemaran dan pengurusan sisa penternakan, sehingga memberi kesan besar kepada rakyat dan kerajaan.
Sehubungan itu, QIAM percaya titah Sultan Selangor dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kajian teknikal, implikasi jangka panjang, sensitiviti rakyat, ekologi dan kesejahteraan negeri.
Pemuda PAS Selangor semalam mengumumkan akan mengadakan satu perhimpunan dinamakan “Himpunan Daulat Tuanku” pada 16 Mei ini susulan dakwaan wujud cubaan mencabar kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di negeri itu berkait polemik penternakan babi dan beberapa kenyataan pemimpin kerajaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.