
KUALA LUMPUR, 1 Ogos 25 – Ketua Portfolio Pendidikan PN merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, menggesa agar siasatan terhadap kematian Zara Qairina Mahathir, 13, dijalankan secara telus dan adil.
Beliau juga menolak sebarang naratif yang boleh menjejaskan peluang keluarga mangsa mendapatkan keadilan.
Saifuddin berkata demikian selepas menghubungi peguam yang mewakili keluarga mangsa pada pagi Jumaat, susulan persoalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat pada 30 Julai lalu berhubung kes yang berlaku di SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah.
“Persoalan sama ada bedah siasat telah dijalankan terhadap jenazah Zara Qairina masih belum jelas. Jika belum, saya menegaskan bahawa prosedur itu perlu dilaksanakan segera supaya punca sebenar kematian dapat dikenal pasti.
“Saya juga bimbang dengan percubaan membawa naratif yang mengaitkan kematian ini dengan isu kesihatan mental atau masalah keluarga sehingga menimbulkan kesimpulan bahawa ia adalah kes bunuh diri. Naratif sebegini boleh menjejaskan peluang untuk kes ini diselesaikan secara adil dan telus,” kata Saifuddin.
Ibunya, Noraidah Lamat, 45, menegaskan beliau mahu kubur anak tunggalnya digali semula untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian dan menghentikan pelbagai spekulasi yang timbul sejak dua minggu lalu.
Polis Sabah memaklumkan siasatan kini di peringkat akhir, dengan kira-kira 60 saksi telah diambil keterangan, termasuk pelajar, guru dan kakitangan sekolah. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.