
KUALA LUMPUR, 13 DIS 25 — Badrul Hisham Shaharin, aktivis politik yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa Ketua Armada Johor, Alias Rasman, berada di bawah tekanan susulan penularan video pertemuan Armada Johor dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencetuskan kontroversi melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam satu kenyataan di media sosialnya, Chegubard berkata beliau memahami kedudukan Alias yang didakwa terpaksa tampil memberi penjelasan bahawa video berkenaan telah dipotong dan diedit sehingga mengubah maksud sebenar, seperti dilaporkan sebuah portal berita.
“Jangan salahkan Alias. Saya jangka dia ditekan teruk sehingga terpaksa menipu bagi menyedapkan telinga atasan,” dakwanya.
Chegubard turut mendakwa isu itu mencerminkan masalah dalaman parti apabila kepimpinan tertinggi hanya mahu mendengar laporan yang bersifat “lunak” dan tidak mencabar naratif sedia ada.
Baru-baru ini, tercetus kontroversi apabila tular satu rakaman video yang memetik kenyataan Tun Dr Mahathir, didakwa menyebut seorang pemimpin bersungguh mahu menjadi Perdana Menteri bagi menyelamatkan diri. Muhyiddin pada hari ini, menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah.
Chegubard berkata, dakwaan bahawa video itu dimanipulasi mula dipersoalkan apabila beberapa rakaman lain yang lebih panjang dan dari sudut berbeza tersebar dalam kumpulan WhatsApp, yang menurutnya tidak menunjukkan sebarang unsur suntingan.
“Takdir Allah, akhirnya tersebar video lebih panjang tanpa sebarang edit dari sudut berbeza. Ini membuktikan lebih ramai turut merakam pertemuan itu,” katanya.
Beliau juga menjangkakan serangan terhadap Tun Mahathir akan dipergiat susulan pendedahan berkenaan, sambil mendakwa wujud pihak tertentu yang akan bertindak mempertahankan kepimpinan atasan tanpa menilai fakta secara rasional. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.