Ketika sebahagian pesawah mengumumkan keputusan untuk tidak menanam padi musim ini akibat tekanan kos yang semakin tidak tertanggung, negara sepatutnya tersentak.
Kerana ini bukan sekadar isu pertanian biasa. Ini soal makanan ruji rakyat, jaminan bekalan beras negara dan survival golongan pesawah di luar bandar yang sekian lama menjadi tulang belakang ekonomi orang Melayu.
Ketika ini, harga baja padi terus meningkat, kos operasi sawah semakin menjerut dan hasil yang diperoleh pesawah semakin tidak berbaloi.
Namun reaksi kerajaan sangat mengecewakan. Kementerian diam dan bungkam, seolah-olah hari ini berjalan seperti biasa.
Malah, tidak ada gelombang besar daripada parti-parti Melayu utama — UMNO dan BERSATU. Tidak ada tekanan bersungguh-sungguh. Tidak ada gerakan nasional yang benar-benar menggambarkan bahawa nasib pesawah sedang berada dalam keadaan genting.
Ironinya, ketika ribuan pesawah sedang tertekan, politik Melayu pula terus tenggelam dalam permainan kuasa.
Lebih menyedihkan, hanya beberapa kerat pemimpin yang tampil menunjukkan reaksi jelas. Datuk Seri Hamzah Zainudin turun sendiri bertemu pesawah dan mendengar keluhan mereka. PAS pula bersama dalam himpunan dan protes yang dianjurkan pesawah sebagai tanda solidariti.
Namun suara mereka tenggelam di sebalik percaturan politik lebih besar antara UMNO dan BERSATU.
Hamzah sendiri bukan lagi Ketua Pembangkang. Suaranya semakin dipinggirkan selepas konflik dalaman BERSATU. Suara PAS pula semakin tersorok di tengah perebutan pengaruh dua parti Melayu itu.
Ketika rakyat bergelut dengan kos sara hidup dan keresahan ekonomi, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula sibuk membawa naratif “Rumah Bangsa”. Kononnya, ia gerakan menyatukan rakyat dan membina masa depan politik baharu Melayu.
Tetapi rakyat melihatnya dari sudut berbeza. Rumah Bangsa dilihat lebih menyerupai kempen politik untuk memulihkan kembali pengaruh Zahid dalam UMNO yang masih rapuh selepas PRU15. Ketika akar umbi parti sendiri masih belum benar-benar stabil, slogan perpaduan mula dijadikan alat memperkukuh kedudukan presiden.
Di pihak BERSATU pula, Tan Sri Muhyiddin Yassin rancak menggerakkan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) ke hulu ke hilir.
Namun persoalan yang timbul semakin jelas — adakah IPR benar-benar gerakan membela rakyat, atau sekadar platform politik baharu untuk mengukuhkan pengaruh Muhyiddin selepas kedudukannya semakin tercabar dalam PN?
Rakyat sebenarnya tidak sukar membaca keadaan. Faktanya jelas, ketika pesawah tertekan, elit politik Melayu pula sibuk menjual jenama politik masing-masing.
Zahid mahu memperkukuh cengkaman dalam UMNO. Muhyiddin pula mahu memastikan pengaruhnya dalam BERSATU terus kekal dominan.
Jangan lupa, kedua-dua presiden ini sendiri masih dibayangi isu integriti dan kes mahkamah.
Walaupun Zahid memperoleh DNAA dalam kes tertentu, persepsi awam terhadap kontroversi yang membayangi kepimpinannya masih belum benar-benar reda.
Manakala Muhyiddin pula terus dihantui kontroversi dana politik dan siasatan berkaitan projek ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Malah, nama keluarganya sendiri turut dikaitkan dalam kes melibatkan dakwaan rasuah terhadap menantunya.
Hakikatnya, rakyat hari ini bukan sahaja melihat perebutan kuasa politik Melayu, tetapi juga melihat bagaimana masa depan orang Melayu terus dipimpin oleh elit lama yang sarat dengan kontroversi dan krisis keyakinan.
Kita patut sedar dan mengambil iktibar. Ketika kedua-dua presiden Melayu ini leka mencatur politik, pemimpin DAP tampil mempertahankan isu ladang babi dan pesta Rain Rave. Mereka bermati-matian membela kepentingan kumpulan mereka, tetapi pemimpin Melayu terus khayal bermain politik.
Mungkin sebab itulah Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini meluahkan rasa kecewa apabila usaha menyatukan Melayu yang digagaskannya gagal disambut.
Mahathir tidak perlu menuding jari secara terbuka. Keadaan politik hari ini sudah cukup menjelaskan segalanya.
Beliau melihat sendiri bagaimana parti-parti Melayu lebih sibuk mempertahankan kedudukan presiden masing-masing daripada membina agenda besar untuk rakyat dan negara.
Pesawah menangis di bendang. Anak muda resah tentang masa depan. Kos hidup terus meningkat.
Tetapi elit politik Melayu terus tenggelam dalam percaturan kuasa, permainan pengaruh dan perebutan survival politik.
Dan mungkin itulah kekecewaan terbesar Mahathir; apabila politik Melayu tidak lagi menjadikan rakyat sebagai kompas perjuangan, sebaliknya menjadikan kuasa sebagai matlamat utama. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.