KKM Batal Cadangan Bina Hospital Maran

Foto – Berita Harian

KUALA LUMPUR | 14 Mei 26 — Cadangan pembinaan Hospital Maran bernilai RM350 juta tidak akan diteruskan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan untuk memberi keutamaan kepada pengukuhan fasiliti kesihatan sedia ada di daerah berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian menilai kadar penggunaan katil di hospital berhampiran yang masih belum mencapai tahap kritikal untuk memerlukan sebuah hospital baharu di Maran.

Menurut beliau, kadar penggunaan katil di Hospital Jengka ketika ini hanya sekitar 57 peratus, manakala Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh mencatatkan kira-kira 63 peratus. Keadaan itu menunjukkan fasiliti sedia ada masih mampu menampung keperluan pesakit di kawasan berkenaan.

Beliau menjelaskan kerajaan juga tidak mempunyai dasar untuk membina dua hospital dalam satu daerah sekiranya tahap penggunaan kemudahan kesihatan masih rendah dan belum mendesak.

Sebagai alternatif, KKM akan memberi tumpuan kepada pemerkasaan Klinik Kesihatan Maran dengan menaik tarafnya kepada Klinik Kesihatan Type 4. Antara penambahbaikan dirancang termasuk perkhidmatan kecemasan 24 jam, kemudahan wad pesakit dalam enam katil serta penubuhan Emergency Birthing Centre (EBC).

Dr Dzulkefly berkata pendekatan baharu kementerian kini lebih menekankan aspek penjagaan kesihatan primer dan rawatan pencegahan berbanding pembinaan hospital baharu secara besar-besaran.

Perkembangan itu hadir selepas timbul laporan bahawa Perbendaharaan sedang meneliti cadangan pengurangan besar perbelanjaan kerajaan termasuk melibatkan sektor kesihatan awam. Cadangan tersebut dikatakan melibatkan pengurangan berbilion ringgit terhadap bajet KKM sebagai sebahagian langkah penjimatan fiskal kerajaan. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share