“Main Konten Nak Burukkan Kedah?” – Sanusi Bidas Pengkritik Projek Sakit

ALOR SETAR | 15 Mei 26 — Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membidas pihak tertentu yang didakwa sengaja membina persepsi buruk terhadap kerajaan Kedah dengan memainkan isu projek sakit tanpa memahami prosedur sebenar kerajaan.

Menurut beliau, banyak pihak termasuk menteri hanya “main cakap” tanpa memahami kontrak, proses teknikal serta faktor luar kawalan yang menyebabkan sesuatu projek tertangguh.

“Agensi kerajaan ini pengalaman dia panjang sejak zaman British lagi. Semua prosedur dan tata kelola ada. Takkan menteri-menteri main cakap lebih kurang tanpa baca semua itu,” katanya.

Sanusi berkata, isu projek sakit bukan hanya berlaku di Kedah, malah turut melibatkan banyak projek Persekutuan di negeri itu termasuk Klinik Padang Serai, Mahkamah Sik dan Rumah Kenangan Bidong yang masih gagal disiapkan.

“Kenapa tak pergi lawat projek-projek federal yang sakit itu? Kenapa hanya fokus kepada projek di Kedah?” soalnya.

Beliau turut mendakwa ada pihak sengaja menjadikan isu tersebut sebagai bahan politik dan “konten” untuk menggambarkan kerajaan negeri tidak cekap.

Dalam masa sama, Sanusi turut memberi contoh negeri lain termasuk Johor yang menurutnya berdepan isu kelewatan projek.

“Di Johor pun banyak projek dapat EOT (Extension of Time), tak ada satu pun siap ‘on time’,” katanya.

Dalam penjelasannya, Sanusi berkata kelewatan projek banyak berpunca daripada pandemik COVID-19 yang menghentikan operasi pembinaan serta kenaikan mendadak harga bahan binaan terutama besi sehingga empat kali ganda.

Katanya, situasi itu menyebabkan banyak kontraktor memohon Variation of Price atau VOP yang perlu dipertimbangkan berdasarkan syarat kontrak.

“Kita pun tak mahu projek lewat siap sebab kita janji kepada rakyat. Tapi semua ini ada prosedur dan agreement dalam kontrak,” katanya.

Beliau turut menegaskan tidak mempunyai masalah sekiranya mana-mana pihak mahu menjalankan siasatan terhadap projek berkenaan.

“Kalau nak siasat, pergilah siasat,” katanya lagi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share