
KUALA LUMPUR | 15 Mei 26 — Pasaran hartanah negara terus berdepan cabaran apabila jumlah rumah siap dibina tetapi tidak terjual meningkat kepada 32,801 unit bernilai RM16.37 bilion pada suku pertama tahun ini.
Data Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan jumlah itu meningkat 7.6 peratus dari segi bilangan berbanding suku sebelumnya, sekali gus mencerminkan permintaan pasaran yang masih perlahan.
Subsektor pangsapuri perkhidmatan atau serviced apartment terus merekodkan jumlah lebihan tertinggi apabila sebanyak 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion masih gagal dijual.
Hampir 60 peratus daripada unit tersebut berada dalam lingkungan harga RM500,000 hingga RM1 juta, manakala lebih 70 peratus projek telah berada di pasaran antara enam hingga 10 tahun.
Ketua Pengarah JPPH, Abdul Razak Yusak dipetik sebagai berkata, prestasi pasaran hartanah pada suku pertama 2026 masih dipengaruhi keadaan ekonomi yang berhati-hati susulan ketidaktentuan global termasuk konflik geopolitik di Asia Barat.
Walaupun begitu, beliau berkata kerajaan menjangkakan langkah di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta Belanjawan 2026 mampu membantu meningkatkan kuasa beli rakyat dan merangsang permintaan hartanah.
Antara langkah diumumkan termasuk peningkatan peruntukan Skim Jaminan Kredit Perumahan sehingga RM20 bilion dan lanjutan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama sehingga akhir 2027.
Dalam masa sama, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia atau REHDA sebelum ini menyatakan penolakan pinjaman pembiayaan menjadi antara punca utama rumah tidak terjual terus meningkat di negara ini. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.