
KUALA LUMPUR | 15 Mei 26 – Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari mempersoalkan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung kelonggaran kemasukan lepasan tahfiz dan Unified Examination Certificate (UEC) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), yang didakwanya boleh membuka ruang kepada “pengiktirafan halus” terhadap sijil UEC.
Menurut beliau, meskipun kerajaan menegaskan syarat memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih dikekalkan, terdapat persoalan lebih besar melibatkan sistem merit kemasukan ke IPTA yang perlu dijelaskan secara terbuka.
“Sekali baca memang nampak macam tiada masalah sebab masih wajib ada SPM. Tetapi persoalan sebenar ialah bagaimana markah merit itu dikira,” katanya dalam satu kenyataan.
Fadhli menjelaskan, sistem merit kemasukan IPTA ketika ini memberi penilaian sebanyak 90 peratus kepada akademik dan 10 peratus kepada kokurikulum.
Katanya, komponen akademik pula dipecahkan kepada markah subjek teras, subjek pakej dan subjek terbaik lain.
Beliau membangkitkan kemungkinan pelajar aliran UEC hanya mengambil subjek minimum SPM seperti Bahasa Melayu dan Sejarah untuk mendapatkan sijil SPM, sebelum menggunakan keputusan UEC bagi melengkapkan markah merit akademik lain.
“Kalau markah bagi Bahasa Inggeris, Matematik, subjek pakej dan subjek terbaik diambil daripada sijil UEC, maka ini sudah menjadi bentuk pengiktirafan UEC secara halus,” katanya.
Fadhli turut mempersoalkan aspek keadilan kepada pelajar yang mengambil keseluruhan subjek SPM dan perlu bersaing dalam sistem merit dengan pelajar yang menggunakan gabungan SPM minimum bersama sijil UEC.
Sehubungan itu, beliau menggesa KPM memberikan penjelasan terperinci supaya rakyat memahami mekanisme sebenar pelaksanaan dasar tersebut.
“Rakyat mahu penjelasan jelas sama ada kerajaan sedang bergerak ke arah mengiktiraf UEC secara senyap,” katanya lagi.
Isu pengiktirafan UEC terus menjadi antara polemik sensitif dalam politik dan pendidikan negara kerana melibatkan dasar kebangsaan, identiti sistem pendidikan serta persaingan kemasukan ke IPTA.
Semalam, Kerajaan dilaporkan bersetuju membuka laluan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) kepada pelajar lepasan sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) bagi mengikuti program pengajian tertentu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai sebahagian usaha memperkasa akses pendidikan tinggi negara secara lebih inklusif tanpa menjejaskan standard akademik dan kualiti sistem pendidikan tinggi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.