Pemuda UMNO Selangor Turut Serta “Himpunan Daulat Tuanku” Pertahan Institusi Raja

SHAH ALAM | 16 Mei 26 — Badan Perhubungan Pemuda UMNO Selangor mengumumkan akan hadir secara beramai-ramai ke “Himpunan Daulat Tuanku” yang dijadual berlangsung di Shah Alam pada Sabtu, hari ini sebagai tanda taat setia kepada DYMM Sultan Selangor.

Dalam satu kenyataan media, sayap Pemuda UMNO negeri itu menegaskan isu melibatkan kesucian Islam, kedaulatan institusi diraja, ketuanan Melayu dan perpaduan nasional merupakan perkara asas yang wajib dipertahankan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan politik.

Menurut kenyataan tersebut, kebelakangan ini timbul pelbagai polemik di Selangor yang didakwa menyentuh kedaulatan institusi diraja, termasuk pertikaian berterusan terhadap titah DYMM Sultan Selangor di media sosial.

Malah, mereka mendakwa terdapat pihak tertentu yang secara terbuka menghina Sultan Selangor selain mengeluarkan kenyataan seolah-olah mempertikaikan titah baginda sehingga mahu membawa perkara berkenaan ke mahkamah.

“Bagi menyatakan tekad, taat dan setia kami Kebawah DYMM Tuanku Sultan Selangor, Badan Perhubungan Pemuda UMNO Negeri Selangor akan hadir bersama-sama ke ‘Himpunan Daulat Tuanku’,” menurut kenyataan itu.

Pemuda UMNO Selangor turut mengarahkan seluruh kepimpinan dan ahli Pemuda daripada 22 bahagian di negeri itu supaya hadir ke himpunan berkenaan sebagai simbol solidariti dan kesetiaan kepada Sultan Selangor.

Pada masa sama, mereka menyeru rakyat Selangor bersama-sama hadir secara tertib dan mematuhi arahan penganjur sepanjang program berlangsung.

“Himpunan Daulat Tuanku” hari ini dianjurkan oleh Pemuda PAS Selangor susulan dakwaan wujud cubaan mencabar kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di negeri itu berkait polemik penternakan babi dan beberapa kenyataan pemimpin kerajaan.

Himpunan yang dijadual berlangsung di Pintu 1, Bangunan SUK Shah Alam pada jam 5 petang ini turut dianjurkan Sekretariat Himpunan Daulat Tuanku bersama gabungan NGO dan NGI sebagai simbol solidariti rakyat terhadap titah Sultan Selangor. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share