PN Sedia Teroka ‘Electoral Pact’ Hadapi PRU Akan Datang

KUALA LUMPUR | 18 Mei 26 — Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan untuk meneroka bentuk kerjasama pilihan raya dengan mana-mana parti atau pihak yang berkongsi prinsip serta wawasan sama menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun gabungan itu yakin dengan kekuatan struktur dalaman serta pengalaman mentadbir kerajaan sebelum dan selepas PRU15, PN tetap mengambil pendekatan terbuka dan realistik dalam menghadapi landskap politik semasa.

Menurut beliau, PN bersedia mempertimbangkan bentuk “electoral pact” atau kerjasama pilihan raya dengan parti-parti yang berminat menjadi rakan strategik tanpa semestinya menyertai PN sebagai parti komponen.

“Sebagai gabungan politik yang realistik dan inklusif, PN terbuka untuk meneroka bentuk-bentuk kerjasama pilihan raya dengan mana-mana pihak yang berkongsi prinsip dan wawasan sama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu yang dipengerusikan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut Takiyuddin, mesyuarat tersebut turut memutuskan supaya sebuah Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi memperincikan terma dan syarat kerjasama politik berkenaan.

Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai wakil parti-parti dalam PN bagi memastikan pendekatan kerjasama tersebut lebih tersusun dan sesuai dengan realiti politik negara ketika ini.

Beliau menambah, pendekatan itu juga bertujuan mewujudkan kerjasama politik yang lebih matang, rasmi dan konstruktif demi kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat yang kini berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin memaklumkan status penyertaan MIC dalam PN kini dianggap terbatal selepas parti itu gagal memberikan pengesahan rasmi berhubung keputusan penerimaannya sebagai anggota PN yang diumumkan sebelum ini.

Menurut beliau, MIC juga sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu tidak pernah membuat permohonan rasmi untuk menyertai PN.

“Ekoran ketiadaan pengesahan itu, maka keputusan penerimaan MIC sebagai parti anggota PN yang dibuat sebelum ini tidak lagi relevan dan terbatal,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share