
KUALA LUMPUR, 18 DIS 25 – Pelantikan Menteri baharu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam rombakan Kabinet semalam mencetuskan kejutan serta persoalan dalam kalangan usahawan Bumiputera, kata Tan Sri Noh Omar.
Noh, yang pernah dua kali menerajui kementerian tersebut pada 2008 dan 2021, berkata beliau terpanggil untuk berkongsi pandangan berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, demi kepentingan masa depan usahawan Bumiputera.
“Matlamat utama KUSKOP adalah jelas iaitu memperkasa usahawan Bumiputera, membangunkan ekosistem keusahawanan negara dan menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan menjelang 2030,” katanya laman facebook beliau.
Menurutnya, sepanjang menerajui kementerian itu, KUSKOP – yang sebelum ini dikenali sebagai MECD – diperkukuh dengan pelbagai agensi strategik termasuk TEKUN Nasional, SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, UDA Holdings, INSKEN dan Amanah Ikhtiar Malaysia, yang memberi manfaat langsung kepada usahawan dan koperasi Bumiputera, khususnya golongan mikro, kecil dan sederhana.
Bagaimanapun, Noh mempersoalkan penyerahan portfolio KUSKOP kepada seorang menteri daripada DAP, sebuah parti yang menurutnya sering mempertikaikan prinsip Dasar Ekonomi Baru (DEB).
“Persoalan yang timbul, adakah semangat asal kementerian ini akan terus dipertahankan?” soal beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan ekonomi Bumiputera yang dibina sejak puluhan tahun tidak wajar diketepikan atas keperluan politik semasa, sambil menuntut penjelasan dan jaminan jelas daripada kerajaan bahawa agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera, koperasi dan PMKS akan terus diperkukuh. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.