
Profesor Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong menegaskan peluang memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA), khususnya bagi kursus kritikal seperti perubatan, perlu mengutamakan pelajar yang setia berada dalam sistem pendidikan kebangsaan dari awal hingga akhir persekolahan.
Menurut beliau, kelompok pelajar yang memilih untuk terus berada dalam sistem pendidikan negara “for better or for worse” sebenarnya memainkan peranan besar dalam mempertahankan dan menjayakan sistem tersebut, walaupun sering berdepan pelbagai cabaran serta persepsi negatif daripada pihak tertentu.
“Kita harus utamakan mereka yang sanggup berada di dalam sistem pendidikan kebangsaan kita dari awal hingga ke akhirnya. Mereka membantu menjayakan sistem pendidikan negara,” katanya dalam forum di malaysiagezette.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu peluang kemasukan ke IPTA yang menurutnya semakin terhad, khususnya bagi kursus-kursus profesional dan kritikal.
Dr. Teo turut menyifatkan pendekatan affirmative action wajar diteruskan sebagai dasar untuk melindungi pelajar yang kekal berada dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Katanya, dalam konteks masyarakat Cina, ramai pelajar selepas menamatkan enam tahun pendidikan di sekolah vernakular tetap memilih untuk menyambung pengajian di sekolah menengah kebangsaan atau sekolah menengah jenis kebangsaan.
Malah beliau menegaskan, aliran sains STPM pada hari ini banyak dipertahankan oleh pelajar bukan Melayu, khususnya pelajar Cina, selepas ramai pelajar Melayu disalurkan ke program matrikulasi.
“Kalau bukan kerana pelajar-pelajar bukan Melayu, khususnya Cina, sudah lama terkubur aliran sains STPM,” katanya.
Menurut beliau lagi, pada suatu ketika dahulu ketika aliran sains STPM masih menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, pelajar Cina tetap kekal dalam sistem tersebut walaupun ramai antara mereka tidak begitu fasih berbahasa Melayu.
Katanya, keadaan itu secara tidak langsung membantu memartabatkan bahasa Melayu dan mempertahankan kesinambungan STPM aliran sains sehingga ke hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya kerajaan tidak mengabaikan kelompok pelajar yang telah lama “menabur budi” kepada sistem pendidikan negara.
“Kita tak mahu mereka yang sudah lama berada dalam sistem ini akhirnya diketepikan. Kalau kita tak jaga mereka, kita zalim dan mengkhianati mereka,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa membuka terlalu luas peluang yang sedia terhad kepada pihak luar daripada sistem pendidikan kebangsaan ibarat “menyusu beruk di hutan, anak sendiri kelaparan”.
Baru-baru ini, rakyat dikejutkan dengan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi bahawa lepasan UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA berdasarkan keputusan Jemaah Menteri.
Keputusan tersebut bagaimanapun mencetuskan polemik apabila pelbagai pihak mendakwa ia membuka ruang pengiktirafan secara tidak langsung terhadap UEC walaupun sijil itu berada di luar sistem pendidikan kebangsaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.