
KUALA LUMPUR, 20 Mei — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa selepas kedua-dua kerusi itu diisytiharkan kosong.
Dalam kenyataan media Bilangan 11/2026, SPR memaklumkan pihaknya telah menerima surat daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul bertarikh 20 Mei 2026 berhubung status kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kekosongan tersebut berlaku selepas kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa diisytiharkan kosong di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, berdasarkan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka tersebut.
“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa akan dijalankan,” menurut kenyataan berkenaan.
Kenyataan itu ditandatangani Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan Harun hari ini.
Pengumuman tersebut sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan PRK di dua kerusi Parlimen terbabit susulan kekosongan yang berlaku baru-baru ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.