ART Satu Perangkap Diplomatik – Kata MP PN

KUALA LUMPUR, 7 NOV 25 — Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Haji Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim, mendakwa kerajaan Madani “menjerumuskan negara ke dalam perangkap diplomatik” yang boleh menjejaskan kedaulatan dan dasar ekonomi Bumiputera dalam perjanjian perdagangan timbal balik (ART) antara Malaysia-AS yang dimeterai baru-baru ini, dengan

Menurut beliau, dua peruntukan utama dalam perjanjian tersebut — Artikel 5.1 dan Artikel 6.2 — dilihat berat sebelah dan lebih memihak kepada AS berbanding kepentingan nasional Malaysia.

“Ini bukan sekadar isu teknikal. Ini soal maruah dan masa depan dasar Bumiputera. Frasa ‘sovereign interests’ digugurkan dan diganti dengan istilah longgar seperti ‘goodwill’ serta ‘shared commitment’. Itu tanda kita sudah tunduk,” tegas Ahmad Amzad dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Beliau turut membandingkan perjanjian itu dengan perjanjian AS–Kemboja, yang menurutnya jauh lebih melindungi kedaulatan negara tersebut.

“Kemboja ada klausa mempertahankan kedaulatan mereka, Malaysia tidak. Adakah kita lebih rendah martabat daripada Kemboja dalam rundingan antarabangsa?” sindirnya.

Ahmad Amzad juga membidas Artikel 6.2, yang menurutnya boleh “melumpuhkan dasar ekonomi Bumiputera” kerana mengehadkan peranan GLC dan GLIC agar hanya bertindak atas dasar komersial tanpa memberi keutamaan kepada vendor tempatan atau Bumiputera.

“Perkara ini bercanggah dengan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. GLC bukan sekadar entiti perniagaan, tetapi instrumen dasar negara bagi memperkasa ekonomi rakyat tempatan. Jika kuasa itu disekat, kita sebenarnya menyerahkan kuasa ekonomi kepada pengaruh asing,” katanya lagi.

Beliau mendakwa, perjanjian tersebut dimeterai secara tergesa-gesa tanpa konsultasi mendalam bersama pakar undang-undang, pemain industri, dan wakil ekonomi Bumiputera.

Ahmad Amzad turut menggesa kerajaan menangguhkan pengesahan perjanjian itu sehingga penilaian semula menyeluruh dibuat terhadap implikasi terhadap kedaulatan dan ekonomi negara.

“Malaysia tidak menolak perdagangan antarabangsa, tetapi perdagangan tanpa maruah bukan kemajuan — itu pengorbanan yang sia-sia,” katanya sambil menegaskan bahawa “kedaulatan dan kepentingan rakyat mesti didahulukan melebihi tekanan kuasa besar.”

Sementara itu, beberapa penganalisis ekonomi menilai kenyataan Ahmad Amzad sebagai satu teguran lantang terhadap dasar perdagangan kerajaan Madani, yang kini dikritik kerana terlalu akur dengan kehendak kuasa besar dalam usaha menarik pelaburan asing menjelang PRU16. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share