SPRM Perluas Siasatan Kes RM1.1 Bilion Ke Peringkat Antarabangsa

PUTRAJAYA | 21 Mei 26 — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluaskan siasatan berhubung kes pelaburan dan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion ke peringkat antarabangsa dengan mendapatkan kerjasama dua negara luar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abd Halim Aman berkata, langkah itu dibuat bagi membantu proses mendapatkan dokumen, maklumat kewangan serta keterangan beberapa individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan berkenaan.

Menurut laporan Bernama, SPRM kini bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk melaksanakan proses bantuan perundangan bersama atau mutual legal assistance melibatkan negara terbabit.

Siasatan tersebut dikaitkan dengan projek kerjasama strategik industri semikonduktor melibatkan Kementerian Ekonomi dan syarikat teknologi berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings.

Setakat ini, lebih 20 individu telah dipanggil memberi keterangan termasuk pegawai kanan kerajaan dan beberapa pihak yang dikaitkan dengan urusan pelaburan tersebut.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli juga sebelum ini hadir memberi keterangan kepada SPRM dan menyerahkan beberapa dokumen tambahan bagi membantu siasatan.

Difahamkan, SPRM masih mengenal pasti beberapa lagi saksi penting termasuk individu yang berada di luar negara.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

SPRM sebelum ini membuka kertas siasatan selepas menerima beberapa aduan yang mendakwa wujud keraguan dalam proses pelaksanaan projek pelaburan berprofil tinggi tersebut. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share