
KUALA LUMPUR, 30 Okt 25 — Sayap Pemuda Bersatu Kepala Batas menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Ketua Bahagian, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, susulan keputusan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menamatkan pelantikan beliau sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Armada Kepala Batas berkata pihaknya menghormati keputusan Muhyiddin itu, namun namun tetap berdiri teguh menyokong pandangan dan pendirian yang dizahirkan oleh Khaliq Mehtab, yang disifatkan sebagai langkah ikhlas untuk memperkukuh asas parti dan memastikan Bersatu kekal diyakini rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Sebagai sayap anak muda di peringkat bahagian, kami berdiri teguh menyokong kenyataan dan pendirian Ketua Bersatu Kepala Batas yang berhasrat memperkukuh institusi parti,” kata Ketua Armada Kepala Batas, Hisyam Juhari.
Kenyataan itu turut menyokong seruan Khaliq Mehtab agar perancangan transisi kepimpinan dilaksanakan secara berhemah dan berprinsip, bagi memastikan parti kekal segar, progresif dan relevan dengan aspirasi rakyat.
Sayap itu menegaskan perbezaan pandangan dalam parti perlu dilihat sebagai tanda kematangan demokrasi dalaman, bukannya punca perpecahan.
“Pandangan yang jujur dan berniat untuk memperkukuh parti wajar diraikan dengan adab dan keterbukaan, selaras dengan semangat kebersamaan dan musyawarah yang menjadi asas perjuangan bersatu,” kata kenyataan itu lagi.
Sayap muda itu turut memberi peringatan agar tiada tindakan yang boleh menimbulkan persepsi perpecahan dalam parti, kerana ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Bersatu.
Sebaliknya, semua pihak digesa menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuh jentera dan strategi bersama rakan komponen Perikatan Nasional menjelang pilihan raya akan datang, bukannya terperangkap dalam polemik dalaman yang boleh melemahkan semangat perjuangan.
Hisyam turut menegaskan kekuatan Bersatu bergantung kepada kemampuan parti menghormati perbezaan pandangan, meraikan suara akar umbi serta mengutamakan perpaduan dan keikhlasan dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.