PAS Akan Kaji Hubungan Dengan BERSATU, Abdul Hadi Tegas “Sabar Ada Batas”

KUALA LUMPUR | 22 Mei 26 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan meneliti beberapa tindakan Bersatu yang didakwa melanggar semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional (PN), termasuk penarikan akuan bersumpah (SD) oleh ADUN Bersatu di Negeri Sembilan.

Menurut beliau, Setiausaha Agung PAS telah menghantar surat rasmi kepada Bersatu berhubung tindakan tersebut yang melibatkan sokongan terhadap kerajaan negeri.

“Kita anggap ini satu langkah yang melanggar setiakawan antara kita. Alasan yang diberi kita tidak boleh terima,” katanya dalam sidang media.

Abdul Hadi berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan kerana UMNO yang turut berada dalam kerajaan negeri tidak menarik sokongan mereka.

Beliau turut membangkitkan tindakan Bersatu di Perlis sebelum ini yang didakwa menyokong undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perlis daripada PAS.

Katanya, PAS mengambil tindakan disiplin terhadap wakil rakyatnya yang terlibat, namun Bersatu pula tidak mengambil tindakan terhadap pihak mereka sendiri.

“Kita masih bersabar kerana mahu menjaga perpaduan Perikatan Nasional. Tetapi sabar ada batas,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyentuh isu desakan pemecatan beberapa pemimpin Bersatu daripada jawatan kerajaan negeri di Kedah dan Kelantan.

Menurutnya, PAS menilai prestasi individu berdasarkan kemampuan melaksanakan tugas dan bukan semata-mata tekanan politik.

Beliau berkata, PAS kini menugaskan Majlis Syura Ulama, Jabatan Pilihan Raya dan unit penyelidikan parti untuk mengkaji satu persatu tindakan Bersatu sebelum menentukan langkah seterusnya.

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share