Penganalisis Jangka Penjajaran Baharu Akan Berlaku Dalam PN

KUALA LUMPUR — Kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu akan mengkaji semula hubungan dengan BERSATU dilihat sebagai petanda awal kemungkinan berlaku penjajaran baharu dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, hubungan antara PAS dan BERSATU sebenarnya telah lama berada dalam keadaan tegang susulan beberapa siri pertikaian dalaman sejak lebih setahun lalu.

Menurut beliau, antara isu yang menjadi titik awal keretakan ialah krisis politik di Sabah apabila ADUN PAS didakwa bertindak menyokong kerajaan negeri walaupun keputusan pimpinan PN ketika itu mengambil pendirian berbeza.

“Selepas itu, hubungan PAS dan BERSATU semakin kerap dilihat tidak sehaluan dalam beberapa isu penting,” katanya.

Beliau berkata, kemuncak kepada ketegangan itu dipercayai berlaku dalam krisis di Perlis yang akhirnya membawa kepada peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.

Susulan perkembangan itu, PAS menyokong Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mengambil alih jawatan tersebut, sekali gus memperlihatkan pengaruh PAS semakin dominan dalam gabungan berkenaan.

Dr Mazlan turut membangkitkan beberapa lagi isu yang didakwa menjarakkan hubungan kedua-dua parti, termasuk pertikaian di Negeri Sembilan, pemecatan Timbalan Speaker Kelantan daripada BERSATU serta penyingkiran ADUN BERSATU yang juga EXCO Kedah.

Menurutnya, PAS juga dilihat tidak melayan kehendak BERSATU untuk menggantikan wakil-wakil yang dipecat dengan calon baharu.

“Isu terbaru yang paling besar ialah apabila kumpulan dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa parti lain yang mahu menyertai PN didakwa tidak diterima majoriti pimpinan dalam gabungan itu.

“PAS dilihat lebih terbuka menerima kumpulan Hamzah, tetapi cadangan itu dipercayai ditolak oleh BERSATU dan beberapa parti kecil bukan Melayu dalam PN,” katanya.

Beliau berpandangan perkembangan itu mungkin mengecewakan PAS kerana parti tersebut dipercayai melihat Hamzah dan kumpulannya sebagai blok politik yang mempunyai masa depan besar dalam landskap politik Melayu.

“Hamzah dilihat mewakili kelompok besar bekas pemimpin dan ahli BERSATU yang tersingkir selepas krisis dalaman parti itu.

“Sebab itu apabila Abdul Hadi menyebut PAS akan mengkaji semula hubungan dengan BERSATU, ia memberi gambaran bahawa sesuatu yang lebih besar mungkin sedang berlaku dalam PN,” katanya lagi.

Menurut beliau, tidak mustahil akan berlaku penjajaran semula dalam PN dengan Hamzah dan kumpulannya berpotensi menjadi sekutu utama baharu PAS menggantikan BERSATU menjelang PRU16.

Pada masa sama, beliau turut menjangkakan BERSATU bersama beberapa parti kecil lain dalam PN mungkin memilih haluan politik berbeza sekiranya perubahan struktur dalaman gabungan itu benar-benar berlaku.

Semalam, Abdul Hadi Awang dalam sidang media menyatakan bahawa PAS akan mengkaji semula hubungan dengan BERSATU susulan beberapa tindakan BERSATU yang dianggap melanggar setiakawan dalam PN. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share