Pelabur Tarik Keluar Dana Sejak 7 Bulan, Mana Potensi Pelaburan PMX ? – Gerakan

KUALA LUMPUR, 30 Jul 25 – Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau mempersoalkan kesahihan potensi pelaburan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diumumkan kerana pada masa yang sama dana-dana pelabur asing berterusan keluar dari Bursa Malaysia sejak tujuh bulan tahun ini.

Dominic juga mempersoalkan berapa banyak pelaksanaan projek dari potensi pelaburan yang diumumkan setiap kali Perdana Menteri ke luar negara, telah dilaksanakan.

“Apabila bercakap soal menarik pelaburan asing, pelbagai data dan dasar dikemukakan dengan begitu lantang, tetapi berapa banyakkah daripada ‘potensi pelaburan’ ini yang benar-benar telah dilaksanakan dan membawa impak kepada ekonomi negara?”

“Sepanjang tempoh tujuh bulan lalu, pelabur asing secara konsisten telah menarik keluar dana dari Bursa Malaysia. Malah pada 15 Julai sahaja, nilai jualan bersih oleh pelabur asing mencecah RM136.52 juta, ini merupakan tindakan pengeluaran terbesar pelabur asing sejak 16 Julai. Katanya.

Menurutnya, dalam keadaan yang sama, kerajaan masih kekal dalam keadaan pasif dan gagal mengemukakan sebarang tindakan balas yang konkrit dan berkesan.

“Timbalan Gabenor Bank Negara, Encik Adnan Zaylani, pada bulan Mac lalu menyatakan bahawa berdasarkan trend pegangan pelabur asing terhadap saham tempatan sebelum ini, aliran keluar ini kononnya bersifat sementara.

“Tetapi dari segi realiti semasa, ‘sementara’ ini telah berlarutan selama tujuh bulan. Ini jelas menunjukkan bahawa pelabur asing hilang keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan hari ini. Jika tidak, mereka tidak akan terus-menerus menarik keluar dana dari pasaran saham. Tambahnya.

Dalam kenyataan yang sama, Dominic juga tidak menafikan keadaan pasaran global yang tidak menentu kesan tarif yang dibuat oleh AS, namun beliau menggesa kerajaan lebih proaktif dalam mengurus sentimen pelabur.

“Tidak menafikan bahawa ketidaktentuan pasaran juga mempunyai kaitan rapat dengan dasar tarif yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Namun, dengan hanya beberapa hari sahaja lagi menjelang 1 Ogos, kerajaan harus lebih proaktif dalam memantau dan menangani keadaan semasa bagi menstabilkan sentimen pelabur.

Jika tidak, aliran keluar pelaburan asing ini dikhuatiri akan berterusan dan semakin sukar untuk dipulihkan. Ujarnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share