Pemuda PAS Sokong Pendirian Presiden Kaji Semula Hubungan Dengan BERSATU

KUALA LUMPUR | 23 Mei 26 — Dewan Pemuda PAS Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung cadangan mengkaji semula bentuk kerjasama politik dengan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, YB Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kenyataan Abdul Hadi dalam sidang media pagi tadi berkaitan isu penarikan sokongan dan akuan bersumpah (SD) melibatkan BERSATU Negeri Sembilan serta perkembangan politik semasa perlu dipandang serius semua pihak.

Menurut beliau, setiap keputusan dan tindakan dalam gabungan politik perlu dibuat berdasarkan semangat kebersamaan serta perbincangan bersama antara semua parti komponen PN.

“Pemuda PAS berpandangan bahawa dalam membina sebuah kesefahaman politik yang kukuh dan berprinsip, setiap keputusan serta tindakan perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kenyataan Presiden PAS yang menegaskan keperluan mengkaji semula hubungan politik dengan BERSATU adalah langkah wajar bagi memastikan agenda perjuangan PN terus diperkukuh dengan disiplin, kejelasan arah dan semangat kebersamaan.

Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar turut menegaskan bahawa fokus utama ketika ini ialah memperkukuhkan peranan PN sebagai blok semak dan imbang terhadap kerajaan.

Katanya, rakyat kini berdepan pelbagai tekanan termasuk kos sara hidup, masalah ekonomi dan ketidakstabilan pentadbiran negara yang memerlukan perhatian serius pembangkang.

“Justeru, tumpuan seluruh pimpinan dan jentera parti seharusnya diberikan secara kolektif kepada usaha memperkukuhkan muafakat pembangkang serta menyusun strategi menghadapi cabaran politik mendatang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuka ruang kepada polemik yang boleh melemahkan keyakinan rakyat terhadap PN.

Dalam masa sama, Pemuda PAS menyeru seluruh pimpinan dan anak muda parti agar terus mendukung ketegasan serta kebijaksanaan Abdul Hadi dalam mengurus isu berkenaan.

Menurutnya, Pemuda PAS bersedia menerima sebarang keputusan lanjut yang bakal diputuskan parti hasil penelitian dan kajian demi maslahat perjuangan serta kestabilan gabungan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share