
KUALA LUMPUR | 23 Julai 26 – PAS menyokong tindakan Kerajaan Johor menutup operasi Network School di Forest City dan menggesa proses semakan latar belakang (due diligence) terhadap pelaburan, organisasi serta individu asing diperkukuhkan bagi melindungi keselamatan dan kedaulatan negara.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan dan mengarahkan operasi Network School dihentikan membuktikan tiada mana-mana pihak diberi layanan istimewa sekiranya didapati melanggar syarat lesen, peraturan atau undang-undang negara.
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira status, kewarganegaraan atau latar belakang mana-mana organisasi.
“Kedaulatan undang-undang hendaklah sentiasa menjadi asas kepada setiap tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam masa sama, Ahmad Fadhli menggesa agensi penguatkuasaan di bawah Kerajaan Persekutuan, termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan meneruskan siasatan secara menyeluruh.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan ke Malaysia atau apa-apa kesalahan lain di bawah undang-undang negara.
Selain itu, beliau turut menggesa proses semakan latar belakang (due diligence) terhadap pelaburan, organisasi dan individu asing diperkukuhkan bagi memastikan aspek keselamatan negara, kedaulatan, pematuhan undang-undang serta kepentingan rakyat sentiasa dipelihara.
Menurutnya, Malaysia kekal mengalu-alukan pelaburan dan inisiatif antarabangsa selagi mematuhi undang-undang negara serta tidak menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan nasional.
“Malaysia merupakan sebuah negara yang berdaulat. Sebarang pelaburan atau inisiatif antarabangsa adalah dialu-alukan selagi mematuhi undang-undang negara dan tidak menjejaskan keselamatan, kedaulatan serta kepentingan nasional,” katanya.
Baru-baru ini, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatakan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn Bhd (Network School) di Forest City dan mengarahkan pemberhentian semua operasinya berkuat kuasa hari ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.