Perjanjian Kerajaan Perpaduan Tamat Bila PRU Diadakan, Kata Asyraf Wajdi

SEREMBAN | 23 Julai 26 – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan hanya berkuat kuasa sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, manakala pertandingan antara parti-parti komponen dalam pilihan raya negeri tidak menjejaskan persefahaman yang dimeterai di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, asas pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Menurutnya, selepas Perdana Menteri mengangkat sumpah jawatan, satu lagi perjanjian baharu dimeterai bagi meraikan penyertaan parti-parti lain termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan beberapa Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Perjanjian ini sehinggalah pilihan raya. Apabila menjelang pilihan raya, maka terlerailah perjanjian tersebut,” katanya ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Asyraf berkata, sepanjang tempoh itu semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan mempunyai tanggungjawab bersama untuk membangunkan negara tanpa menafikan sumbangan antara satu sama lain.

“BN tidak boleh menafikan sumbangan PH, PH tidak boleh menafikan sumbangan BN, begitu juga sumbangan GPS, GRS dan parti-parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pilihan raya negeri tidak termasuk dalam skop perjanjian tersebut dan tidak seharusnya dicampuradukkan dengan kerjasama di peringkat Persekutuan.

“Soal pilihan raya negeri itu kita jangan campur adukkan dengan soal pilihan raya umum ataupun soal Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat,” katanya.

Sehubungan itu, Asyraf menggesa semua pihak supaya tidak memainkan sentimen atau menyebarkan dakwaan yang boleh mengelirukan rakyat sepanjang kempen PRN. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share