
KUALA LUMPUR, 6 NOV 25 — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan bahawa kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab terhadap kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat, dan diperintahkan membayar pampasan keseluruhan melebihi RM40 juta kepada keluarga mangsa.
Dalam keputusan penting itu, Hakim Su Tiang Joo mendapati terdapat penglibatan satu atau lebih pegawai polis sama ada masih berkhidmat atau telah bersara dalam penculikan kedua-dua individu tersebut, dan tindakan itu dipercayai dilakukan “mengikut satu arahan tertentu”.
Mahkamah memerintahkan pampasan harian sebanyak RM10,000 dibayar kepada keluarga Pastor Koh bermula dari tarikh kehilangannya pada 13 Februari 2017 hingga beliau ditemui atau keputusan disemak semula.
Selain itu, keluarga Amri Che Mat turut menerima pampasan lebih RM3 juta atas kegagalan pihak berkuasa menjalankan siasatan yang berkesan terhadap kehilangannya pada November 2016. Mahkamah turut mengarahkan agar siasatan kes dibuka semula dan laporan kemajuan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap dua bulan.
Susulan keputusan itu, AGC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi meneliti semula keputusan berkenaan.
“Jabatan ini sedang meneliti alasan penghakiman dan akan memfailkan notis rayuan dalam tempoh ditetapkan,” kata kenyataan tersebut.
Kes kehilangan Raymond Koh dan Amri Che Mat pernah mencetuskan kebimbangan antarabangsa mengenai isu hak asasi manusia dan ketelusan pihak berkuasa dalam menangani dakwaan penculikan oleh pihak beruniform.
Dengan keputusan terbaharu ini, tumpuan kini beralih kepada Mahkamah Rayuan yang akan menentukan sama ada keputusan bersejarah tersebut dikekalkan atau diubah sekali gus menjadi penanda penting terhadap tahap akauntabiliti institusi keselamatan negara. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.