Kerjasama Dengan PN Masih Dalam Proses ‘Merisik’, Kata MIC

KUALA LUMPUR, 17 Sep 25 – Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, mengesahkan ada tawaran untuk parti itu berkemungkinan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN)

Beliau bagaimanapun dilapor berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan berkaitan jemputan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menurutnya masih dalam fasa ‘merisik’.

“Mungkin. Ini seperti fasa sebelum bertunang, ia bukan perkara kecil dan saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ia memerlukan penelitian rapi.

“Keputusan akan dibuat tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Reunion Pemimpin Veteran Wanita MIC Perak di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu, baru-baru ini.

Vigneswaran menegaskan hubungan MIC dengan PAS dan Bersatu tidak sama seperti permusuhan lama antara Umno dan DAP.

“MIC pernah bekerjasama dengan kepimpinan PAS dan Bersatu sebelum ini tanpa sebarang masalah.

“Keadaan ini berbeza dengan Umno dan DAP yang dahulu adalah musuh ketat, tetapi akhirnya boleh duduk semeja dan bekerjasama,” katanya.

Vigneswaran turut menafikan, pertemuannya bersama pimpinan MIC dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu adalah sebagai isyarat parti itu akan meninggalkan Barisan Nasional (BN).

“Itu tidak benar. Jika ada perkara berkaitan BN, saya mesti berbincang dengan (Pengerusi BN) Datuk Seri Zahid Hamidi bukan dengan Najib,” katanya.

Tegasnya, pertemuan itu adalah sebagai tanda hormat masyarakat India dan MIC terhadap Najib yang pernah mentadbir negara.

“Najib adalah pemimpin yang sangat dihormati masyarakat India dan MIC. Pertemuan itu diadakan sebagai tanda hormat terhadap beliau ketika pernah menerajui negara.

“Mengenai apa yang dibincangkan, biarlah ia kekal antara kami,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share