Semiotik Kejatuhan Kuasa: Dari Naratif Krisis kepada Naratif Delegitimasi

Dalam politik pasca normal kejatuhan kuasa jarang berlaku secara tiba-tiba. Ia biasanya bermula dengan perubahan naratif yang perlahan-lahan mengubah cara masyarakat melihat seseorang pemimpin dalam kerajaan .

Dalam kerangka semiotik yang sering dibincangkan oleh sarjana semiotik dari Indonesia,  Prof Dr Yasraf Amir Piliang bahawa kejatuhan kuasa bukan sekadar proses politik lebih jauh lagi adalah proses penghasilan makna.

Apabila wacana politik mula menggambarkan seorang pemimpin sebagai lemah, kehilangan kawalan atau tidak lagi dihormati oleh sekutunya, proses itu sebenarnya sedang bergerak daripada naratif krisis kepada sesuatu yang lebih mendalam  iaitu naratif delegitimasi.

Naratif krisis hanya menggambarkan keadaan yang tegang atau tidak stabil. Tetapi naratif delegitimasi melangkah lebih jauh: ia cuba meyakinkan masyarakat bahawa pemimpin tersebut tidak lagi layak memegang kuasa.

Dalam politik, krisis tidak semestinya membawa kepada kejatuhan kepimpinan. Banyak kerajaan di seluruh dunia pernah melalui konflik dalaman, pertikaian dalam gabungan atau tekanan politik daripada pembangkang.

Namun krisis menjadi berbahaya apabila ia berjaya ditukar menjadi naratif delegitimasi.

Delegitimasi berlaku apabila beberapa elemen digabungkan dalam wacana politik:

  1. Pemimpin digambarkan tidak lagi mempunyai kawalan terhadap partinya sendiri.
  2. Sekutu politik dilihat semakin menjauh.
  3. Keputusan politik ditafsirkan sebagai tanda kelemahan.
  4. Masa depan kerajaan digambarkan sebagai tidak stabil.

Apabila elemen-elemen ini disusun dalam satu cerita besar, ia menghasilkan gambaran bahawa kepimpinan tersebut bukan sahaja sedang menghadapi masalah bahkan sedang menuju ke arah kejatuhan.

Namun daripada sudut semiotik, persoalan yang lebih penting ialah bagaimana naratif ini dibentuk dan disebarkan.

Dalam sistem demokrasi, pembangkang mempunyai fungsi penting untuk mengkritik kerajaan. Namun kritikan politik juga sering disertai dengan strategi naratif.

Apabila pembangkang atau kelompok yang tidak menyokong kerajaan atau membenci Anwar membina naratif bahawa seorang pemimpin sedang kehilangan kuasa, tujuan utamanya bukan hanya untuk mengkritik dasar kerajaan. Ia juga bertujuan membentuk persepsi kolektif dalam kalangan rakyat.

Naratif seperti ini biasanya menggunakan beberapa strategi komunikasi:

  • menekankan konflik dalaman dalam kerajaan,
  • menonjolkan perpecahan dalam parti pemerintah,
  • mengaitkan pelbagai peristiwa politik dengan satu kesimpulan besar tentang kelemahan kepimpinan.

Dalam bahasa semiotik, strategi ini menghasilkan apa yang boleh disebut sebagai “naratif kumulatif” iaitu satu cerita yang menjadi semakin kuat kerana disokong oleh banyak episod kecil.

Walaupun setiap episod mungkin mempunyai tafsiran yang berbeza, pengulangan naratif yang sama boleh membentuk persepsi bahawa krisis politik sedang berlaku secara menyeluruh.

Fenomena ini berkait rapat dengan konsep hiperrealiti yang sering dibincangkan oleh sarjana pasca moden daripada Peranchis seperti Jean Baudrillard.

Hiperrealiti merujuk kepada keadaan di mana secebis kisah atau representasi sesuatu isu diputar belit  sehingga ia  menjadi lebih dominan daripada realiti itu sendiri.

Dalam politik moden yang sangat dipengaruhi oleh media dan media sosial, keadaan ini menjadi semakin jelas. Naratif yang berulang-ulang tentang kelemahan kepimpinan boleh menghasilkan satu persepsi kolektif bahawa kerajaan sedang runtuh walaupun struktur institusi mungkin masih stabil.

Dengan kata lain, persepsi tentang krisis boleh menjadi lebih kuat daripada krisis sebenar.

Apabila keadaan ini berlaku, politik tidak lagi hanya bergantung kepada fakta atau angka sokongan di Parlimen. Ia juga bergantung kepada siapa yang berjaya mengawal naratif tentang realiti politik.

Proses delegitimasi juga boleh difahami melalui konsep dramaturgi politik yang sering dikaitkan dengan pemikiran Erving Goffman. Goffman ialah seorang ahli sosiologi dan teori komunikasi yang terkenal dari Kanada.

Beliau dikenali sebagai salah seorang pemikir paling berpengaruh dalam sosiologi moden, khususnya dalam kajian tentang interaksi sosial harian, identiti, dan persembahan diri dalam masyarakat.

Dalam perspektif dramaturgi, politik dilihat seperti sebuah drama. Setiap aktor politik memainkan peranan tertentu di atas pentas awam.

Naratif delegitimasi berfungsi seperti skrip drama yang menggambarkan seorang pemimpin sedang kehilangan sokongan, menghadapi tekanan daripada sekutu, dan akhirnya menuju kepada klimaks politik.

Klimaks ini biasanya digambarkan dalam bentuk peristiwa besar seperti pilihan raya atau perubahan kepimpinan.

Apabila skrip ini berjaya diterima oleh masyarakat, ia boleh menghasilkan kesan psikologi yang besar terhadap politik negara.

Apa yang berlaku dalam wacana politik Malaysia hari ini menunjukkan bahawa politik semakin dipengaruhi oleh pertarungan naratif.

Satu pihak mungkin cuba membina naratif bahawa kerajaan masih stabil dan mampu mentadbir. Pihak lain pula cuba membina naratif bahawa kepimpinan sedang kehilangan legitimasi.

Dalam keadaan ini, realiti politik sering berada di antara dua cerita yang bersaing. Siapa yang berjaya menguasai naratif dalam ruang media dan komunikasi awam sering mempunyai kelebihan dalam membentuk persepsi rakyat

Daripada perspektif semiotik wacana tentang kemungkinan kejatuhan kepimpinan bukan sekadar analisis politik. Ia juga merupakan proses pembinaan makna yang cuba mempengaruhi cara masyarakat melihat kuasa.

Naratif krisis boleh menjadi langkah pertama dalam proses ini. Tetapi apabila naratif tersebut berkembang menjadi naratif delegitimasi, ia berpotensi mengubah persepsi masyarakat tentang siapa yang layak memimpin.

Dalam era komunikasi digital, politik bukan lagi sekadar soal institusi dan angka sokongan. Ia juga tentang siapa yang berjaya membentuk cerita paling meyakinkan tentang realiti politik.

Oleh itu  dalam banyak keadaan, cerita itulah yang akhirnya menentukan arah perjalanan kuasa.

Ismail Hashim Yahaya. Penulis adalah pemerhati geopoliti dan hubungan antarabangsa  di media dengan menampilkan pendekatan semiotik dan naratif dalam menafsir fenomena sosial, budaya dan perubahan makna dalam masyarakat kontemporari.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Tiada Pilihan

Perpecahan dalam Bersatu bermakna PN kehilangan hampir satu perempat daripada kekuatan politik yang dimilikinya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Read More
Total
0
Share