
KUALA LUMPUR | 25 Mei 26 — “Suara akar umbi PAS” kini dilihat semakin lantang mempersoalkan kedudukan dan peranan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU )dalam Perikatan Nasional (PN) apabila hubungan kedua-dua parti dikatakan semakin tegang sejak kebelakangan ini.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berhubung hubungan dengan BERSATU bukan pandangan individu, sebaliknya lahir daripada keresahan yang telah lama dipendam oleh pimpinan dan akar umbi PAS.
Menurut beliau, ramai ahli PAS di peringkat kawasan dan negeri semakin kecewa dengan sikap BERSATU yang didakwa cuba mengawal hala tuju PN selain enggan membuka gabungan itu kepada parti-parti Melayu Islam lain.
“Hasrat PAS mahu melihat PN menjadi platform penyatuan Melayu Islam yang lebih besar, bukannya gabungan eksklusif dan tertutup,” katanya.
Beliau mendakwa isu sebenar yang menjarakkan hubungan PAS dan BERSATU bukan sekadar melibatkan krisis di Negeri Sembilan atau Perlis, tetapi berpunca daripada rasa tidak puas hati akar umbi terhadap corak kerjasama dalam PN.
Nurul Islam turut mendakwa PAS kawasan sudah terlalu lama “menanggung” kelemahan jentera BERSATU di lapangan.
“PAS kawasan dah lama sabar bela wakil BERSATU. Bila menang, ada yang menghilang dan PAS juga yang terus buat kerja di bawah,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli PAS apabila BERSATU masih mahu menuntut banyak kerusi walaupun kekuatan organisasinya didakwa semakin lemah.
“Ada kawasan PAS mempunyai puluhan cawangan aktif, tetapi BERSATU hanya ada beberapa cawangan. Namun tuntutan kerusi tetap tinggi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata episod politik di Perlis dan Negeri Sembilan meninggalkan kesan besar kepada jentera PAS kerana dianggap mencalarkan semangat setiakawan dalam PN.
Katanya, tindakan Presiden PAS mengumumkan bahawa hubungan dengan BERSATU akan dikaji semula bukan bermaksud PAS mahu memutuskan hubungan, tetapi memberi isyarat bahawa suara akar umbi kini semakin kuat mendesak perubahan dalam gabungan pembangkang itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.